TANJUNG MALIM, 8 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan inklusif di peringkat antarabangsa melalui pelaksanaan latihan berterusan dan perundingan global yang memberi tumpuan kepada pembangunan perkhidmatan inklusif untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Komitmen ini diterjemahkan menerusi penganjuran Program Latihan Pembangunan Profesional Guru Maldives: Keperluan Perkhidmatan Inklusif dan Pendidikan Berkualiti yang berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 8 Januari 2026.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, dengan penyertaan guru-guru dalam perkhidmatan dari pelbagai negeri di Maldives.

Penyertaan kali ini merupakan kohort ke-10 sejak program ini dimulakan pada tahun 2017, sekali gus mencerminkan hubungan kerjasama akademik dan perundingan antarabangsa yang konsisten antara UPSI dan Maldives dalam memperkukuh sistem pendidikan inklusif.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan serta pembangunan profesional guru, khususnya melalui perspektif terapi cara kerja, bagi menyokong pelaksanaan amalan pendidikan yang lebih berkesan, inklusif dan berasaskan keperluan sebenar pelajar OKU.

Di samping itu, program ini turut berperanan mempromosikan kepakaran CIRCLE sebagai pusat rujukan, serta memperluaskan jaringan perundingan antarabangsa dan kerjasama strategik merentas sektor.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian ilmiah dan praktikal termasuk sesi pengenalan kepada dunia disabiliti (Disability World), pendedahan kepada Sensory Lab, serta lawatan akademik ke Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang ekosistem sokongan pendidikan inklusif di Malaysia.

Pada 7 Januari 2026, delegasi Maldives turut mengadakan lawatan penanda aras ke Academy Ikhlas, Melaka dan Zafaran International College, Seri Kembangan, Selangor.

Lawatan ini memberi pendedahan langsung berkaitan pelaksanaan intervensi, pengurusan kanak-kanak OKU daripada pelbagai peringkat umur serta amalan pendidikan inklusif, khususnya penempatan murid di sekolah integrasi bagi membina kemahiran sosial dan keupayaan penyesuaian bersama murid arus perdana.

Sepanjang program berlangsung, guru-guru dari Maldives menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dan penglibatan aktif dalam sesi perbincangan, khususnya berkaitan strategi intervensi, pengurusan keperluan pembelajaran murid OKU dan amalan terbaik yang berpotensi diaplikasikan mengikut konteks pendidikan di negara mereka.

Menurut Pengarah CIRCLE, Dr. Hasrul Hosshan, kesinambungan program ini mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran tempatan yang dibangunkan oleh UPSI.

Beliau turut memaklumkan bahawa latihan berasaskan pensijilan sedang dirancang untuk diperkenalkan, melibatkan pengiktirafan kepada guru dan ibu bapa melalui kursus kendalian bersama pemain industri tempatan, termasuk kerjasama strategik dengan sektor swasta, sebagai usaha memperkukuh kualiti latihan, profesionalisme dan kelestarian perkhidmatan inklusif di Malaysia.

Penganjuran program ini sekali gus menzahirkan komitmen berterusan CIRCLE dan UPSI dalam memacu perundingan antarabangsa melalui latihan berterusan bersama rakan global seperti Maldives, di samping menggalakkan penglibatan pemain industri di Malaysia dalam menyokong pembangunan perkhidmatan inklusif dan ekonomi penjagaan yang memberi manfaat langsung kepada golongan OKU.