Gambar PSG bersama Pengurusan UPSIGambar PSG bersama Pengurusan UPSI

oleh: Siti Sarah Ahmad Zubdi & Dr. Kama Shaffeei

TANJUNG MALIM, 15 Januari 2026 – Parent Support Group (PSG), iaitu kumpulan sokongan ibu bapa dan penjaga Sekolah Rendah Seri Budiman, telah mengadakan satu perjumpaan rasmi bersama pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), pada hari ini.

Perjumpaan ini bertujuan memperkenalkan Chief of Education yang baharu, Encik Norazam bin Mat Isa, yang telah mula menjalankan tugas secara rasmi pada hari pertama persekolahan, iaitu 12 Januari 2026. Selain itu, sesi ini turut menjadi platform memperkenalkan ibu bapa dan penjaga murid-murid Tahun 1 yang baharu kepada pentadbiran Sekolah Rendah Seri Budiman serta pengurusan Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NICE).

Dalam perjumpaan ini, pihak PSG turut didedahkan kepada beberapa inisiatif dan projek strategik yang akan dilaksanakan oleh Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan bagi menyokong keperluan pembelajaran dan pembangunan murid-murid Sekolah Rendah Seri Budiman.

Melalui sesi pembentangan yang disampaikan oleh Profesor Ts. Dr. Wong Teck, Timbalan Pengarah (Unit Teknologi Pendidikan dan Jaringan Industri), beberapa program yang telah dirangka telah dibentangkan dan dikenal pasti memerlukan kerjasama aktif daripada Parent Support Group (PSG). Beliau menekankan bahawa kebanyakan ahli PSG yang terdiri daripada warga pensyarah UPSI berpotensi besar untuk menyumbang kepakaran dan sokongan dalam menjayakan pelaksanaan program-program tersebut.

Ucapan aluan dari Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Sesi pembentangan oleh pihak Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan
Sesi soal jawab ibu bapa PSG

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris turut menyatakan komitmen berterusan terhadap pembangunan Sekolah Rendah Seri Budiman melalui sokongan kewangan berjumlah RM500,000.00, yang akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek-projek pendidikan yang telah dirancang secara berperingkat.

Secara keseluruhannya, perjumpaan ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama berterusan antara Parent Support Group (PSG) dan pengurusan UPSI, sekali gus menjadi asas yang kukuh ke arah permulaan yang positif dan berimpak tinggi bagi sesi persekolahan tahun 2026.