Tanjong Malim – Muallim Half Marathon 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Disember 2025 bertempat di Gerbang Suria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan disertai oleh peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus meletakkan acara ini sebagai program bertaraf antarabangsa.

Program anjuran Absolute Wellness dengan kerjasama strategik UPSI ini berjaya menarik lebih kurang 1,600 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh barisan tetamu kehormat iaitu Penasihat Undang-Undang Bahagian Perundangan, Salwati Mohd Aris; Ketua Pegawai Eksekutif Absolute Legacy Sdn. Bhd., Mohd Firdaus Mohd Sahir serta Ketua Bahagian Audit Dalam, Hanafi Junit.

Detik perasmian Muallim Half Marathon
Kaunter pendaftaran dan agihan kit larian
Barisan sukarelawan dari UKLK bersama kru Absolute Wellness

Kehadiran VIP ini mencerminkan sokongan padu terhadap penganjuran acara sukan berskala besar yang memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti dan institusi pendidikan.

Penganjuran Muallim Half Marathon ini bertujuan untuk memperkenalkan UPSI sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan ikon daerah Muallim melalui acara sukan berimpak tinggi.

Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada pelajar UPSI untuk terlibat secara langsung sebagai sukarelawan dan penyelaras acara, sekali gus memberi pendedahan sebenar dalam pengurusan acara sukan profesional.

Peserta Kenya pertama tiba di garisan penamat untuk kategori 21KM Men Open
Pacer bersedia di garisan permulaan untuk dilepaskan

Seramai 50 orang sukarelawan dari Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah terlibat secara aktif dalam memastikan kelancaran program.

Penglibatan sukarelawan ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat kerja berpasukan, malah mencerminkan komitmen tinggi pelajar dalam menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

Dari segi penyertaan, program ini turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelari luar negara termasuk dari Thailand, Singapura, Kenya dan Bangladesh, selain peserta tempatan dari seluruh Malaysia.

Penyertaan antarabangsa ini sekali gus memperkukuhkan reputasi Muallim Half Marathon sebagai platform sukan yang inklusif dan berdaya saing di peringkat global, serta disertai oleh Persatuan Pelari Anak Luar Biasa sebagai simbol keterangkuman acara ini.