Tanjong Malim –17 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Komputer dan Meta Teknologi (FKMT) menjalinkan kerjasama penyelidikan antarabangsa dalam bidang Robotik bersama Cardiff Metropolitan University, Wales, United Kingdom. Kerjasama ini melibatkan penghantaran seorang pensyarah daripada Jabatan Teknologi Kejuruteraan Komputer dan Teknologi Pintar, FKMT, iaitu Dr. Sumayyah binti Dzulkifly, yang kini sedang menjalani Program Sangkutan UPSI sebagai Pensyarah Pelawat di EUREKA Robotic Centre, Cardiff Metropolitan University.

Program sangkutan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif PIE Programme for WISE (Women in Sustainable and Safe AI) yang akan berlangsung selama tiga minggu bermula 12 Januari hingga 1 Februari 2026. Antara fokus utama program ini adalah meneroka potensi penyelidikan bersama dalam bidang Robotik Pendidikan berkeupayaan AI, penulisan artikel jurnal serta penambahbaikan kualiti penyelidikan dan pengajaran di UPSI.

Selain itu, Dr. Sumayyah turut ditugaskan untuk memuktamadkan draf Perjanjian Persefahaman (MoA) bagi pelaksanaan program Ijazah Dual PhD/MPhil antara Cardiff Metropolitan University dan UPSI. Beliau juga dijadualkan menyampaikan seminar penyelidikan, menghadiri kuliah bagi tujuan penilaian rakan sejawat, serta menyertai lawatan berkaitan robotik dan kebudayaan di Wales.

Penempatan sementara ini bertujuan mengukuhkan kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pertukaran pengetahuan, khususnya dalam aspek perkongsian mampan serta inisiatif pembangunan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Diharapkan kerjasama strategik antara FKMT UPSI dan Cardiff Metropolitan University dalam bidang AI dan Robotik ini dapat memperkukuhkan jaringan kolaborasi antarabangsa UPSI, khususnya dalam aspek akademik dan penyelidikan. Pihak Fakulti Komputer dan Meta Teknologi UPSI juga mengalu-alukan serta bersedia bekerjasama dengan pihak industri di Malaysia dalam bidang Robotik.

By shira