Oleh: Dr. Roznim binti Mohamad Rasli
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dan proaktif dalam usaha melahirkan mahasiswa/i yang holistik, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa. Landskap pendidikan yang semakin mencabar kini amat mementingkan kesiapsiagaan, keprihatinan dan nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda. Selari dengan aspirasi tersebut, Pusat Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menganjurkan First Aider in Every Home Course yang melibatkan seramai 5,000 orang mahasiswa UPSI.

Pelaksanaan kursus First Aider in Every Home Course ini bukanlah sekadar satu kursus latihan, tetapi satu inisiatif membentuk generasi yang berilmu, berjiwa besar dan berakhlak mulia. Bertempat di Blok B Kompleks Kokurikulum, kursus ini dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Siri 1 pada 22 November 2025 (Sabtu) dan Siri 2 pada 23 November 2025 (Ahad). Selain mahasiswa Semester 1 program Sarjana Muda yang diwajibkan menyertai kursus ini, terdapat juga mahasiswa daripada pelbagai semester dan fakulti secara sukarela menyertainya bertujuan memperkasa diri dengan ilmu pertolongan cemas sebagai tapak asas pembentukan jati diri.
Melalui kursus ini, mahasiswa/i diberi pendedahan kepada teknik asas pertolongan cemas, cardiopulmonary resuscitation (CPR), pengendalian mangsa dan langkah keselamatan awal sebelum bantuan profesional tiba. Kemahiran pertolongan cemas ini bukan sekadar pengetahuan tambahan, malah merupakan keperluan asas di dalam kehidupan seharian kerana dalam sekelip mata kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Situasi seperti kemalangan kecil di rumah, kecederaan semasa aktiviti sukan, pengsan, serangan jantung atau insiden tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Selain kemahiran teknikal, kursus ini turut menganyam benang-benang halus kemahiran insaniah yang membentuk peribadi mahasiswa yang amat penting dalam dunia kerjaya. Sepanjang latihan dan simulasi, mahasiswa/i berpeluang membina kemahiran komunikasi berkesan, khususnya ketika berinteraksi di dalam situasi kecemasan, semangat kerja berpasukan, keyakinan diri dan kepimpinan apabila perlu membuat keputusan pantas dan bertindak secara bertanggungjawab dan keupayaan mengawal emosi dan tekanan. Kemahiran ini menjadi pelengkap kepada pencapaian akademik dan membantu mahasiswa tampil lebih yakin, matang dan professional melalui tindakan, mengalir dalam refleks, dan menjadi harapan pertama sebelum bantuan profesional tiba.

Penglibatan dalam kursus ini memberikan nilai tambah yang signifikan kepada profil mahasiswa UPSI. Melalui kerjasama strategik bersama EDGE, kursus ini turut menyokong agenda universiti dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan, khususnya dalam sektor pendidikan, perkhidmatan, industri, sukan dan pengurusan acara. Dalam landskap pekerjaan yang semakin mencabar, majikan bukan sahaja mencari graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi individu yang memiliki kemahiran praktikal, berdisiplin dan bersedia menghadapi situasi tidak dijangka.
Secara kesimpulannya, kursus First Aider in Every Home mencerminkan hasrat UPSI untuk melahirkan generasi muda yang lebih peka, prihatin dan bersedia membantu, bukan sahaja di kampus malah di dalam komuniti setempat. Pelaksanaan kursus ini oleh Pusat Kokurikulum dengan kerjasama EDGE merupakan satu langkah strategik UPSI dalam memperkukuh pembangunan mahasiswa secara menyeluruh. Kursus ini tidak sekadar mendidik minda, malah membantu membentuk jiwa dan nurani mahasiswa/i yang lebih empati, berdisiplin dan yakin diri. Pengalaman latihan secara langsung membolehkan mahasiswa/i melihat peranan mereka bukan sekadar sebagai penuntut ilmu, tetapi sebagai individu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain dan masyarakat sekeliling.

