Sebahagian peserta bengkel dan fasilitatorSebahagian peserta bengkel dan fasilitator

Oleh: Zainun Mustafa dan Hazlan Yusoff

Komitmen terhadap kelestarian dan inovasi belia terus diperkukuh melalui jemputan untuk mengadakan Bengkel Greenovate bersempena dengan program The Search for SEAMEO Young Scientists (SSYS) ke-14 yang berlangsung di SEAMEO RECSAM. Bengkel ini melibatkan penyertaan kira-kira 200 pelajar dari lapan negara serantau. Program ini diselaraskan oleh Center of Biodiversity and Conservation (CEBeC) dan Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) sebagai sebahagian daripada penglibatan strategik mereka dalam menyokong ekosistem pendidikan sains melalui sokongan terhadap program pendidikan yang berimpak tinggi.

Program ini dianjurkan bersempena dengan kongres antarabangsa yang menghimpunkan pelajar berbakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Bertemakan “Greenovate: Youth Turning Vision into Action for a Sustainable Future,” kongres tersebut menekankan peranan belia sebagai pemacu perubahan dalam usaha menangani cabaran global seperti perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan keperluan inovasi hijau.

Sebahagian peserta bengkel dan fasilitator

Melalui bengkel ini, CEBeC dan RAS mengetengahkan pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif, kolaboratif dan berasaskan simulasi terhadap pengalaman sebenar. Inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasakan generasi muda bukan sekadar dengan pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal untuk membangunkan solusi dunia sebenar.Justeru, bengkel ini direka dengan aktiviti yang mendorong pelajar berfikir secara kreatif, berinovasi dan berkolaborasi merentas budaya serta negara.

Antara komponen utama program ialah SDG Passport Challenge, satu aktiviti berasaskan permainan pembelajaran yang memfokuskan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Melalui modul ini, peserta bergerak dari satu stesen cabaran ke stesen lain bagi menyelesaikan tugasan berkaitan isu kelestarian seperti: 1) Eco mind Quest Spin the Wheel, 2) Vision Wall Green Innovation, 3) VR Station dan 4) Specimen exhibits. 

Setiap cabaran memerlukan peserta berfikir secara kritis serta menghasilkan idea kreatif dalam masa terhad. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, malah membantu pelajar memahami bagaimana konsep global boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan sebenar.

Penganjuran bengkel ini juga selari dengan beberapa agenda pembangunan utama, termasuk aspirasi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang menekankan prinsip Inclusivity and Sustainability. Melalui penglibatan aktif belia, inisiatif seperti ini membantu membentuk generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bertanggungjawab terhadap masa depan planet.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan, program seumpama ini berpotensi diperluas pada masa hadapan bagi melibatkan lebih ramai pelajar serta memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.