Oleh : Shelina Romanus dan Puan Najah Saghirah Haroman

Tanjong Malim, 19 April 2026 – Kem Langit & Laman Cerita Kita anjuran Exco Kebajikan dan Kerohanian Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dilaksanakan dengan penuh impak pada 18 hingga 19 April 2026 di E-Taman Dusun Stay, Tanjong Malim.

Menghimpunkan seramai 30 orang peserta dalam kalangan Majlis Mahasiswa dan Rakan Exco serta penglibatan pelajar luar kampus, program dua hari satu malam ini bukan sekadar menjadi platform rekreasi, malah dizahirkan sebagai wadah penghayatan jiwa UPSI yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan intelek dan pembinaan sahsiah serta kerohanian mahasiswa.

Seawal ketibaan, peserta dibahagikan dalam kumpulan kecil melalui aktiviti ‘ice breaking’ yang dirangka bukan sahaja untuk mencairkan suasana, tetapi juga menyemai nilai kepercayaan, komunikasi berkesan dan rasa kebersamaan.

Sesi ‘ice-breaking’
Sesi ‘ice-breaking’
Sesi pembuatan kokedema

Dinamika kumpulan ini terus diperkukuh melalui aktiviti kolaboratif yang menuntut peserta saling memahami peranan, mengurus emosi dan membina empati dalam situasi sebenar.

Pengisian utama program turut menampilkan sesi membuat kokedema yang dikendalikan oleh Mohd Yusaimi bin Md Yusof, daripada GRASS Malaysia.

Lebih daripada sekadar aktiviti seni tanaman, sesi ini diolah sebagai terapi alam (nature-based therapy) yang membantu peserta memperlahankan rentak kehidupan, memberi ruang refleksi diri serta menghubungkan manusia dengan alam ciptaan.

Peserta bukan sahaja menghasilkan kokedema secara ‘hands-on’ , malah didedahkan dengan falsafah kesederhanaan dan penjagaan berterusan yang selari dengan pembentukan jiwa yang sabar dan bertanggungjawab.

Penyampaian penghargaan kepada En. Mohd Yusaimi Bin Md Yusof
Persiapan bahan-bahan untuk makan malam
Persiapan bahan-bahan untuk makan malam

Menjelang senja aktiviti diteruskan dengan penyediaan makan malam secara gotong-royong yang disusun tanpa pembahagian tugas rigid.

Peserta diberi kebebasan mengurus peranan masing-masing, sekali gus menguji kepimpinan spontan, toleransi dan semangat kebersamaan. Sesi ini juga menjadi kemuncak interaksi sosial, di mana hubungan yang terbina diterjemahkan dalam suasana santai namun bermakna.

Dalam memperkukuh dimensi rohani, solat wajib lima waktu dijalankan secara berjemaah diseriakn dengan perkongsian tazkirah yang dipimpin sendiri oleh peserta secara bergilir, selari dengan penerapan Jiwa UPSI.

Seterusnya sesi “Teman di kala sunyi (ini cerita saya…)” dianjurkan dalam suasana yang lebih intim dan reflektif. Peserta berkongsi buku yang memberi kesan mendalam kepada diri mereka, disusuli perkongsian pengalaman peribadi dan nilai kehidupan yang dipelajari.

Sesi BBQ untuk makan malam
Solat jemaah

Sesi ini bukan sahaja menghidupkan budaya membaca, malah menjadi ruang terapi emosi yang membantu peserta memahami diri sendiri serta menghargai perjalanan hidup orang lain dengan lebih empati.

Permulaan hari kedua dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang menjadi titik pengukuhan spiritual program, diikuti dengan bicara pagi yang menyentuh soal makna kehidupan, keseimbangan diri dan peranan mahasiswa sebagai insan berilmu.

Aktiviti diteruskan dengan senaman ringan di persekitaran alam terbuka yang segar, sebelum peserta terlibat dalam terapi mewarna berkonsepkan alam, satu pendekatan mindfulness yang membantu menstabilkan emosi dan meningkatkan fokus dalaman.

Sesi penutup yang disempurnakan oleh Penasihat Program Puan Najah Saghirah Binti Haroman
Sesi penutup yang disempurnakan oleh Penasihat Program Puan Najah Saghirah Binti Haroman

Program diakhiri dengan sesi penutup dan gotong-royong, mencerminkan nilai tanggungjawab bersama serta penghargaan terhadap ruang dan pengalaman yang telah dikongsi sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, Kem Langit & Laman Cerita Kita berjaya menzahirkan pendekatan pembangunan mahasiswa yang holistik dengan mengintegrasikan elemen jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Penganjuran program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan diri mahasiswa, malah menyemai jiwa UPSI dalam melahirkan graduan yang seimbang, berdaya tahan dan berakhlak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti.