TANJONG MALIM, 28 April – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar sejarah apabila diiktiraf secara rasmi di peringkat antarabangsa sebagai Kampus Perak Exercise is Medicine On Campus (EIM-OC) bagi sesi 2026-2027 oleh American College of Sports Medicine (ACSM). 

Pengiktirafan berprestij ini mengukuhkan kedudukan kampus UPSI di Tanjong Malim, Perak, sebagai sebuah institusi yang amat komited dalam mendidik dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar serta kakitangannya.

Kejayaan ini dipacu oleh pencapaian operasi yang cemerlang melalui STAR Wellness Hub di bawah kelolaan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI.

Hub ini berfungsi sebagai nadi penggerak utama dalam menyelaras dan menyampaikan pelbagai perkhidmatan kesejahteraan secara komprehensif kepada warga universiti. 

Antara inisiatif berimpak tinggi yang berjaya dilaksanakan termasuklah penganjuran Kelas Senaman Berkumpulan Harian seperti Body Tone, Muay Thai, dan Tinju , Klinik-klinik Sukan , perkhidmatan Latihan Peribadi (Personal Training) atas permintaan , serta program libat urus komuniti berskala besar seperti sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia dan Larian D’UPSIDE.

Lebih membanggakan, kelancaran dan kejayaan inisiatif-inisiatif kesihatan ini diperkasakan sepenuhnya oleh barisan Jurulatih Pelajar (Student-Trainers) kelahiran UPSI sendiri. Mereka telah menjalani latihan kemahiran intensif dan mendapat pensijilan profesional melalui kerjasama strategik antara UPSI dan Society of Exercise is Medicine Malaysia(SEIMM).

Dekan FSSK, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria, menyatakan rasa bangga beliau terhadap penganugerahan tersebut. “Pengiktirafan Kampus Perak EIM-OC ini jelas mencerminkan komitmen berterusan pihak universiti dalam memperkasakan sebuah komuniti kampus yang lebih sihat, aktif, dan cergas.

Ia membuktikan bahawa pendidikan holistik di UPSI bukan sahaja terhad di dalam dewan kuliah, malah turut merangkumi aspek kesejahteraan fizikal secara menyeluruh,” kata beliau.

Penyelaras STAR Wellness Hub, Dr. Ebby Waqqash bin Mohamad Chan, turut memuji usaha keras tenaga kerja pelajarnya.

“Kami amat berbangga dengan keupayaan Jurulatih Pelajar UPSI-SEIMM kami yang menjadi jentera penggerak di sebalik semua program ini. Mereka telah menterjemahkan pengetahuan sains sukan ke dalam amalan praktikal berteraskan bukti yang memberi impak positif dan ketara kepada tahap kesihatan warga kampus.”

Pengiktirafan antarabangsa ini dijangka akan terus menyuntik semangat warga UPSI dan STAR Wellness Hub untuk memperluaskan lagi penawaran kecergasan mereka, mengekalkan penyertaan aktiviti fizikal jangka panjang, dan memastikan ekosistem universiti kekal mampan sebagai komuniti yang mempromosikan gaya hidup sihat.