Delegasi MEIPTA bersama TNCAA UPSI pada hari pertama MEIPTADelegasi MEIPTA bersama TNCAA UPSI pada hari pertama MEIPTA

Oleh: Yuhanis Mhd Bakri dan Norhasrina Mohd Idris

TANJONG MALIM, 14 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Akademik terus mengukuhkan peranannya sebagai pelopor inovasi pendidikan apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) Kali Ke-67.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu merupakan platform strategik yang menghimpunkan ketua-ketua pusat e-pembelajaran dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia bagi membincangkan hala tuju strategik, inovasi digital, dan penyelarasan polisi pendidikan maya di peringkat kebangsaan. 

Delegasi MEIPTA bersama OpenLearning CEO Adam Brimo dan pasukannya
Hari kedua MEIPTA, 14 Mei 2026

MEIPTA dianggotai 20 Universiti Awam, 5 Universiti Milik Kerajaan (GLU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

Pada 13 Mei (Rabu), agenda dimulakan aluan tuan rumah oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI iaitu Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun diikuti oleh Pengerusi MEIPTA iaitu Dr Mohd Hafiz Abu Hassan.

Bengkel MEIPTA diteruskan dengan sesi perbincangan intensif yang telah diadakan secara selari di dua lokasi di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) iaitu Bilik Seminar Aminuddin Baki dan Bilik Mesyuarat Amanah, Fakulti Pembangunan Manusia. Bengkel diteruskan dengan pembentangan oleh pasukan dari OpenLearning yang telah disampaikan oleh Chief Executive Officer, Adam Brimo.

Keunikan penganjuran kali ini terserlah apabila delegasi dibawa menyelami “jiwa” UPSI melalui sesi lawatan berpandu di kedua-dua kampus.

Sesi tersebut yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah e-Pembelajaran dan Transformasi Akademik, Pusat Pembangunan Akademik, ChM. Dr. Yuhanis Mhd Bakri, memberi peluang kepada ahli mesyuarat untuk mengenali sejarah kegemilangan universiti serta rancangan pembangunan masa hadapan.

Bagi menyuntik elemen santai dan mengeratkan ukhuwah, delegasi turut berpeluang beriadah di Pusat Bowling UPSI sebelum diraikan dalam satu majlis makan malam yang menutup tirai hari pertama dengan penuh harmoni.

Kemuncak program berlangsung pada 14 Mei (Khamis) melalui Mesyuarat MEIPTA Kali Ke-67. Sebelum mesyuarat bermula, delegasi telah dibawa ke Galeri Lakar UPSI dan seterusnya dimulakan dengan aluan penutup tuan rumah iaitu Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Prof. Madya Dr Normah Jusoh.

Mesyuarat rasmi ini dijalankan di Dewan Konvensyen, Aras 5, Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS). Antara intipati utama mesyuarat adalah laporan kemajuan inisiatif e-pembelajaran di peringkat IPTA, penyelarasan kualiti kandungan digital pendidikan serta persediaan menghadapi transformasi pendidikan masa hadapan selari dengan keperluan industri.

Kejayaan mesyuarat ini bukan sahaja diukur melalui pengukuhan hala tuju digital MEIPTA, tetapi juga melalui hospitaliti terbaik yang dizahirkan oleh UPSI sepanjang program berlangsung. Komitmen UPSI dalam menyantuni delegasi dan menyelaraskan visi kedaulatan digital negara membuktikan universiti ini sentiasa berada di kelas tersendiri dalam penganjuran pelbagai peringkat.