Oleh Noor Zuhidayah Muhd Zulkipli
Tanjong Malim, 12 Mac 2026 – Seramai 531 orang staf akademik dan bukan akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghadiri sesi perkongsian pakar bertajuk “The Future Higher Education Landscape” yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Akademik UPSI melalui program Teaching, Learning, Assessment and Supervision (TLAS).
Program yang berlangsung di Dewan SITC ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama barisan ahli jawatankuasa pengurusan universiti (JKPU) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga universiti.

Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran yang membincangkan perubahan serta cabaran yang bakal membentuk landskap pendidikan tinggi pada masa hadapan.
Dalam perkongsiannya, beliau menjelaskan bahawa pendidikan tinggi kini sedang melalui fasa transformasi yang ketara, didorong oleh perkembangan teknologi, perubahan keperluan industri serta jangkaan baharu daripada generasi pelajar masa kini.
Model pendidikan tradisional yang berasaskan kuliah konvensional dan struktur program yang kaku perlu ditransformasikan kepada pendekatan yang lebih fleksibel, relevan dan berorientasikan masa depan.
Beliau turut menekankan kepentingan laluan pembelajaran alternatif dalam pendidikan tinggi bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Antaranya termasuk pelaksanaan Micro Credentials, Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta pengukuhan Work-Based Learning (WBL 2.0) yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel dan berkait rapat dengan keperluan industri.
Selain itu, MQA turut komited dalam meningkatkan fleksibiliti pendidikan tinggi dengan memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap struktur program bagi memastikan kurikulum kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Perkongsian ini turut menekankan peranan penting pensyarah dalam memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pensyarah bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, malah perlu menjadi pemudah cara yang mampu mencipta pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar.
Antara pendekatan yang diketengahkan ialah teknik pembelajaran “3L” iaitu learn by doing, learn by seeing dan learn by listening bagi meningkatkan penglibatan serta pemahaman pelajar dalam proses pembelajaran.
Di samping itu, pembangunan pelajar juga perlu mengambil kira keseimbangan dari aspek fizikal, sosial, spiritual dan psikologi bagi melahirkan graduan yang holistik serta berdaya saing.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara yang menekankan pembentukan bakat berkualiti tinggi serta pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat.
Penganjuran program TLAS ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa budaya kecemerlangan akademik di UPSI.
Program ini juga mencerminkan komitmen UPSI dalam memastikan warga akademiknya sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi serta terus berinovasi dalam melahirkan graduan yang kompeten dan relevan dengan keperluan masa hadapan.
