Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri

QS Reimagine Education Awards yang disebut sebagai ‘Oscars’ in Education merupakan platform paling berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan perintis pendidikan di seluruh dunia, memberi inspirasi kepada inovasi dalam mengubah landskap pendidikan, meningkatkan hasil pembelajaran serta meningkatkan kebolehpasaran generasi masa hadapan. Anugerah ini dianjurkan oleh QS iaitu badan penarafan institut pengajian tinggi antarabangsa.

Dengan lebih 1,650 penyerahan inovatif pada tahun 2025 merentasi 21 kategori anugerah, edisi tahun ini menonjol bukan sahaja dari segi bilangan penyertaan yang memecah rekod, malah dari aspek kualiti serta kepelbagaian yang ditampilkan.

Setiap penyertaan telah dinilai oleh seramai 1,344 panel juri antarabangsa dan Grand Jury yang terdiri daripada lebih 50 pakar global, sekali gus mencerminkan daya tarikan antarabangsa dan prestij tinggi Anugerah QS Reimagine.

Pada tahun ini UPSI melakar sejarah sebagai antara Universiti yang paling ramai finalis di pentas akhir dengan diwakili oleh empat orang pensyarah, dalam kategori berbeza.

Ini merupakan kali ketiga Universiti Pendidikan Sultan Idris dipilih sebagai finalis bagi penerimaan anugerah berprestij badan penarafan antarabangsa, QS.

Anugerah dan Persidangan QS Reimagine Education telah diadakan pada 1 hingga 3 Disember 2025 di Queen Elizabteh II Centre, Westminister, London, United Kingdom.

Bagi kategori Nurturing Wellbeing & Purpose Award Award, UPSI diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nurul ‘Ain binti Mohd Daud daripada Fakulti Pembangunan Manusia dengan projek inovasi “From Surviving to Thriving: A Neuro-Immersive Approach to Wellbeing and Purpose in Higher Education”.

Manakala, Dr. Norsayyidatina binti Che Rozubi daripada fakulti sama menerusi projek “Hope Through Counseling: Nurturing Hearts of Child Cancer Warriors” merupakan peserta akhir bagi kategori Nurturing Values and Ethics.

Dalam kategori Nurturing Employability pula, UPSI diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr. Kesavan a/l Nallaluthan daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dengan projek “Nurturing Employability Through a Holistic Three-Pronged Teaching Strategy”.

Finalis akhir UPSI bagi kategori Immersive Experiential Learning Award pula ialah Dr. Abdul Rahman bin Safian daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dengan projek inovasi “eMARZsive: An Immersive VR Innovation for Enhancing Music Appreciation in Education”.

Terdapat 21 kategori anugerah yang dipertandingkan bagi 2025 termasuk kategori early stage dan mature. Bagi Kategori Future of Learning, anugerah yang dipertandingkan ialah Artificial Intelligence in Education, Best use of Generative AI, Blended and Presence Learning, e-learning, Immersive experiential learning, Learning Assessment dan Neuroscience of Learning.

Anugerah dibawah kategori Future of Universities ialah Innovation in Business Education, Smart Omnichannel Campus, The Power of Partnerships. Manakala anugerah dalam kategori Future of Work ialah Developing Emerging Skills and Competencies, Lifelong Learning, Nurturing Employability.

Selain itu terdapat kategori Sustainability, anugerah Sustainability Education: Action dan Sustainability Education: Literacy serta kategori Values, anugerah Access, Diversity & Inclusion, Nurturing Values and Ethics dan Nurturing Wellbeing and Purpose. Terdapat juga sesi perkongsian utama, bengkel dan sesi selari semasa tiga hari persidangan berlangsung.

Anugerah utama QS Reimagine Education Global Education Award bernilai wang tunai USD 25,000 pada tahun ini dianugerahkan kepada ASU SolarSPELL Initiative.

Manakala, Pemenang keseluruhan bagi QS Reimagine Global EdTech Award bernilai AWS Cloud credits ditaja oleh Amazon Web Services dengan nilai USD 25,000 dianugerahkan kepada Lab4U.

Semoga pengikitirafan ini menjadi pemangkin semangat bagi lebih banyak inovasi pengajaran dan pembelajaran untuk menjulang lagi UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan. Demi UPSI!