oleh Puan Bazliah Ahmad Mahmud dan NUR AMIRAH ROHIM

Tanjong Malim, 13 Mei 2026 – Bersempena bulan Zulkaedah, Pusat Islam UPSI telah menganjurkan Kursus Persediaan Ibadah Korban dan Akikah yang melibatkan pembelajaran secara teori dan praktikal bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa berkaitan kaedah penyembelihan yang sah menurut syarak. Program ini telah disampaikan oleh Ustaz Yazuli bin Rosli selaku Pengerusi Pondok Raudhatul Arifin yang berkongsi ilmu berkaitan hukum-hakam sembelihan, syarat sah penyembelihan serta kaedah pengendalian haiwan korban dan akikah dengan betul.

Sesi praktikal dimulakan di perkarangan Masjid Al-Mursyidin dengan pengenalan ringkas berkaitan tatacara sembelihan. Sejumlah dua ekor kambing dan 20 ekor ayam disediakan oleh Pusat Islam sebagai haiwan sembelihan bagi melengkapkan pengisian praktikal kepada para peserta. Mahasiswa menunjukkan minat yang tinggi untuk mencuba sendiri proses penyembelihan ayam di samping tekun memerhati teknik penyembelihan kambing yang ditunjukkan. Penyertaan aktif daripada mahasiswa lelaki dan perempuan turut memeriahkan suasana sepanjang sesi berlangsung.

Sesi teori seterusnya dimulakan dengan tayangan video proses sembelihan. Mahasiswa juga diberikan pendedahan lebih terperinci berkaitan syarat sah sembelihan, kesalahan lazim dalam penyembelihan serta kaedah pengendalian haiwan menurut syariat Islam. Slot terakhir diakhiri dengan persoalan daripada Ustaz Yazuli berkaitan masalah dalam proses penyembelihan yang boleh menyebabkan sembelihan menjadi tidak sah. Ramai mahasiswa tampil memberikan jawapan dan pandangan masing-masing, sekali gus menunjukkan kefahaman yang diperoleh mampu diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi pengalaman pembelajaran yang bermanfaat kepada mahasiswa melalui gabungan pengisian teori dan praktikal. Pendedahan yang diberikan bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta berkaitan ibadah korban dan akikah, malah turut memupuk kesedaran tentang kepentingan mempraktikkan penyembelihan yang menepati syariat Islam.