Oleh: Caronella Jamis & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hassan

Tanjong Malim, 21 Mei 2026 – Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa syarikat dan organisasi industri bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan pihak industri.

Majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, KSAJS, UPSI ini diadakan pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Program ini melibatkan kerjasama antara UPSI dengan beberapa rakan industri seperti Oh My Media, Skop Productions Sdn. Bhd., Noir, AQ Energy dan Aaron Aziz Productions.

Dalam majlis tersebut, pelbagai perkongsian inspirasi dan pengalaman industri telah disampaikan oleh wakil syarikat yang hadir. Yang Berbahagia Datuk Yusuf Haslam ACP (K), selaku Ketua Pengarah Eksekutif Skop Productions Sdn. Bhd., berkongsi kata-kata semangat mengenai perjalanan beliau dalam industri perfileman. Beliau menyatakan bahawa “selagi ada jalan, saya redah” serta menekankan bahawa perjuangan tidak akan wujud tanpa usaha. Beliau turut berkongsi bahawa proses untuk menjadi seorang pengarah bermula daripada didikan bapanya dan diteruskan dengan mendalami ilmu di kolej. Menurut beliau, kejayaan hadir melalui proses pembelajaran dan perjuangan yang dibina sendiri.

Selain itu, Encik Farizudin Mohammad selaku Chief Business Officer (CBO) Noir turut berkongsi pandangan mengenai dunia video dan pemasaran masa kini. Beliau menjelaskan bahawa penghasilan video memerlukan proses pembelajaran yang berterusan kerana satu video sahaja belum tentu mampu mencapai kejayaan. Tambah beliau, penggiat media perlu memahami kehendak serta hubungan dengan audiens sebelum menghasilkan kandungan. Noir juga berharap kerjasama bersama UPSI dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar dalam bidang produksi dan pemasaran.

Sementara itu, wakil daripada AQ Energy turut menyatakan harapan untuk memberikan pendedahan yang lebih luas kepada pelajar UPSI serta memperluaskan program latihan industri bagi membantu mahasiswa memperoleh pengalaman sebenar dalam dunia pekerjaan.

Penganjuran program ini bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang media, komunikasi, penerbitan serta pembangunan bakat mahasiswa. Selain itu, MoU ini juga diharapkan dapat membantu pelajar memperoleh pengalaman industri melalui latihan praktikal, program kolaborasi dan perkongsian kepakaran profesional.

Majlis ini mencerminkan komitmen FBK UPSI dalam memperluaskan jaringan kerjasama bersama industri luar demi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuhkan pembangunan akademik selaras dengan keperluan semasa.