Oleh: Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak, Nurul Husna Muhammad & Nur Allysa Yasmin

Kuala Lumpur, 19 Mei 2026 – Seramai 47 orang pelajar semester 4 dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil kursus KBD3053 Pemulihan Bahasa dan Pertuturan bersama seorang pensyarah pengiring, Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak telah mengadakan lawatan akademik ke Unit Terapi Pertuturan, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Program Direksi Terapi Pertuturan: Dari Teori ke Realiti dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia sebenar terapi pertuturan dan perkhidmatan rehabilitasi yang dijalankan di hospital.

Setibanya di Unit Terapi Pertuturan HCTM, para pelajar telah diberikan taklimat oleh Puan Sherin Sokmum selaku Ketua Unit Terapi Pertuturan mengenai sejarah penubuhan unit, fungsi unit serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit. Selepas sesi taklimat selesai, para pelajar diberikan peluang untuk meneroka beberapa bilik terapi yang terdapat di unit tersebut dengan bimbingan kakitangan Unit Terapi Pertuturan. Melalui sesi ini, pelajar dapat melihat sendiri proses penilaian dan terapi yang dijalankan terhadap pesakit dalam suasana klinikal sebenar.

Antara pengalaman yang menarik ialah apabila para pelajar berpeluang menyaksikan seorang pesakit menjalani prosedur Flexible Endoscopy Examination of Swallowing (FEES) bagi menilai masalah penelanan serta seorang lagi pesakit menjalani sesi terapi pertuturan untuk membantu meningkatkan kemahiran bercakap dan komunikasi. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan simulasi lingWAVES Voice Protocol yang merupakan satu prosedur penilaian untuk mengukur kualiti suara pesakit. Pengalaman ini membantu pelajar memahami dengan lebih jelas aplikasi teori yang dipelajari di dalam kuliah ke dalam situasi sebenar di hospital.

Secara keseluruhannya, Program Direksi Terapi Pertuturan: Dari Teori ke Realiti memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada para pelajar serta membuka peluang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang peranan ahli terapi pertuturan dalam membantu meningkatkan keupayaan komunikasi dan kualiti hidup pesakit.