KUALA LUMPUR, 31 Mei – Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) terus memperkukuh peranan Malaysia dalam industri penerbitan antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam Asian Rights Fair (ARF) 2026, sebuah platform perdagangan hak cipta dan penerbitan yang menghimpunkan pemain industri perbukuan dari seluruh dunia.
Penyertaan MAPIM pada tahun ini dilihat sebagai langkah strategik untuk membuka akses kandungan Malaysia ke pasaran global, khususnya dalam memperkenalkan karya ilmiah, akademik dan penerbitan berkualiti tinggi kepada pembeli hak cipta, penerbit serta pengedar antarabangsa.
ARF bertujuan menjadi platform utama perdagangan hak cipta dan hak penerbitan di rantau Asia dalam mengangkat kedudukan Asia sebagai peneraju pasaran kandungan global. Melalui platform ini, penerbit, pengurus hak, penulis dan pencipta kandungan diberi peluang memperluaskan jangkauan harta intelek serta karya kreatif mereka ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, berkata penganjuran ARF 2026 yang melibatkan penyertaan daripada 26 negara membuktikan komitmen industri perbukuan global untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam mempromosikan kandungan dan hak penerbitan masing-masing.
“Penyertaan 26 negara pada ARF tahun ini memperlihatkan keyakinan komuniti penerbitan antarabangsa terhadap potensi Asia sebagai hab perdagangan hak cipta yang semakin berkembang. Setiap negara hadir dengan kekuatan kandungan tersendiri dan ARF menjadi ruang terbaik untuk mereka memperkenalkan karya, budaya, penyelidikan serta naratif negara masing-masing kepada pasaran global.
“Bagi Malaysia, penyertaan ini bukan sahaja membuka peluang perdagangan hak penerbitan, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai pengeluar kandungan berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.



ARF 2026 menawarkan pelbagai peluang strategik termasuk sesi padanan perniagaan berfokus secara bersemuka, jaringan profesional rentas negara dan kolaborasi industri yang mampu merangsang pembentukan kerjasama antarabangsa serta memperkukuh pertukaran kandungan antara negara.
Dalam konteks tersebut, MAPIM tampil sebagai antara peneraju utama yang membawa suara penerbitan ilmiah Malaysia ke pentas global. Sebanyak 12 institusi penerbitan di bawah MAPIM menyertai ARF 2026, iaitu penerbit dari Sunway University, UniMAP, UTM, USIM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UMK, UUM, UM, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), USM, UMS dan UPSI.
Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Tuan Mohd Khair Ngadiron, berkata penyertaan kolektif institusi penerbitan pelbagai negara dalam ARF membuktikan kesediaan Malaysia untuk menjadi pemain yang lebih aktif dalam ekosistem penerbitan antarabangsa.
Menurut beliau, buku dan ilmu pengetahuan sentiasa menjadi medium penting dalam membina persefahaman dan mengukuhkan hubungan antara negara.
“ARF bukan sekadar platform perdagangan hak cipta, tetapi merupakan medan yang menghubungkan negara-negara melalui ilmu, budaya dan pemikiran. Apabila sesebuah buku diterjemahkan, diterbitkan atau dikongsi merentasi sempadan, ini membawa bersama nilai, pengalaman dan kefahaman yang dapat merapatkan jurang antara masyarakat yang berbeza latar belakang.
“Dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran geopolitik dan sosial, industri perbukuan mempunyai peranan besar sebagai jambatan keamanan. Pertukaran ilmu melalui buku mampu memupuk dialog, meningkatkan kefahaman bersama dan menggalakkan budaya saling menghormati antara negara.
Dengan penyertaan MAPIM bersama rangkaian penerbit akademik dan ilmiah negara, ARF 2026 dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperluaskan capaian kandungan Malaysia ke pasaran global, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat penghasilan ilmu dan kandungan berkualiti di rantau Asia.
