TANJONG MALIM, 16 Mei 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama pelajar Praktikum Kaunseling dibawah Penasihat – Cik Che Noor Hawa binti Che Ismail telah berjaya menganjurkan Program Creative Learning Style: Series 1 (Degree) bertempat di Blok 9, Aras 2, Bilik Kuliah 3 yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.30 petang. Program ini melibatkan penyertaan pelajar ijazah sarjana muda dan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mengenai kepentingan gaya pembelajaran kreatif dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran.



Program ini dikendalikan oleh Kuganeshwarry a/p Saravanan yang bertindak sebagai Pengarah Program dengan sokongan barisan ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelajar praktikum Pusat Kaunseling UPSI. Kerjasama yang padu dalam kalangan urus setia telah memastikan kelancaran pelaksanaan program serta penyampaian pengisian yang teratur dan berkesan kepada para peserta.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Program ini juga secara tidak langsung membantu peserta mengenal pasti gaya pembelajaran masing-masing yang sesuai untuk diaplikasikan dalam kehidupan akademik.



Objektif program telah dicapai melalui penyampaian maklumat yang jelas serta penglibatan aktif peserta dalam setiap aktiviti. Program ini juga berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan mengamalkan gaya pembelajaran yang kreatif dan fleksibel bagi menghadapi cabaran pembelajaran masa kini.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas. Usaha ini penting dalam melahirkan pelajar yang lebih kreatif, inovatif serta berdaya saing, di samping menyokong pembangunan diri dan kecemerlangan akademik dalam kalangan warga universiti.

