Oleh: Nur Mahirah binti Masu’ddi
TANJUNG MALIM, 8 JUN 2026 – Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan penanda aras daripada enam orang delegasi Universiti Multimedia (MMU) yang diketuai oleh Dr. Tengku Putri Norishah binti Tengku Shariman, Pengarah Lifelong Learning and Educational Content Development (LEAD). Kunjungan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta berkongsi amalan terbaik berkaitan pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan fleksibel, transformasi digital akademik dan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang dilaksanakan di UPSI.
Program yang berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ini menjadi platform bagi kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan akses pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, kunjungan ini turut membuka ruang kepada perbincangan berkaitan pembangunan sistem digital akademik, pengurusan pembelajaran dalam talian dan amalan jaminan kualiti yang menyokong agenda pendidikan fleksibel.


Sepanjang program berlangsung, sesi perkongsian telah dijalankan secara serentak bagi membolehkan perbincangan yang lebih berfokus mengikut bidang masing-masing. Sesi pertama yang dikendalikan oleh Dr. Yuhanis daripada Seksyen E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik, PPA memberi tumpuan kepada pelaksanaan Micro-Credentials (MC) dan Open and Distance Learning (ODL) di UPSI. Delegasi MMU telah diberikan penerangan mengenai struktur pengurusan program, penggunaan platform pembelajaran digital, integrasi teknologi baharu dalam sistem pengurusan pembelajaran (LMS), serta pelbagai inisiatif pembelajaran fleksibel yang dilaksanakan bagi menyokong keperluan pelajar dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pada masa yang sama, sesi kedua yang dikendalikan oleh Dr. Shuradi daripada Seksyen APEL, PPA memberi fokus kepada pelaksanaan Accreditation of Prior Experiential Learning for Access (APEL.C) dan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q) di UPSI. Delegasi MMU telah didedahkan kepada kerangka pelaksanaan, struktur tadbir urus, proses pentadbiran, amalan jaminan kualiti serta penggunaan sistem digital yang menyokong pengurusan APEL di universiti ini.
Perkongsian tersebut turut merangkumi proses kemasukan dan saringan calon, penilaian portfolio, pemetaan kompetensi, mekanisme pelantikan penasihat, penilai dan moderator, serta pelaksanaan latihan dan proses moderasi yang memastikan piawaian penilaian sentiasa terpelihara. Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai cabaran pelaksanaan, amalan terbaik dan inisiatif penambahbaikan berterusan dalam memperkasakan laluan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.
Kunjungan ini bukan sahaja memberi peluang kepada delegasi MMU untuk memahami amalan terbaik yang dilaksanakan oleh UPSI, malah menjadi medium penting untuk memperkukuh jaringan profesional dan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Melalui sesi perkongsian yang berlangsung, pelbagai idea dan pandangan telah diketengahkan dalam usaha memperkasa ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang lebih mampan dan relevan dengan keperluan semasa.


Sebagai penutup program, delegasi MMU telah dibawa melawat Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) bagi meninjau kemudahan dan infrastruktur yang menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif akademik di UPSI. Lawatan tersebut memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai usaha universiti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing.
Secara keseluruhannya, kunjungan penanda aras ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik antara UPSI dan MMU. Diharapkan hubungan yang terjalin melalui program ini akan terus diperkukuh bagi menyokong pembangunan pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, inklusif dan berorientasikan pembelajaran sepanjang hayat pada masa hadapan.
