OLEH: KIRTHANA A/P YUDEYELJODI DAN ANHAR MALIK ADHAM MALIK
TANJONG MALIM, 7 JUN 2026 – Exco Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan PANTERA: Temasya Pantun Bitara Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini menghimpunkan lapan pasukan dari institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia bagi mengetengahkan keindahan seni pantun, kesantunan bahasa serta warisan budaya Melayu.
Program ini dianjurkan dengan tema “Pesona Budaya, Citra Malaysia” dan bertujuan memupuk perpaduan, meningkatkan penghayatan terhadap seni sastera tradisional serta memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.



Pengarah Program, Saudara Muhammad Fahmi Ariff bin Ahmad Zulkefley berkata, penganjuran PANTERA menjadi platform terbaik untuk memartabatkan seni pantun dalam kalangan generasi muda.
“PANTERA bukan sekadar pertandingan pantun, malah menjadi medium untuk mahasiswa menghayati nilai budaya, kesantunan bahasa dan semangat perpaduan. Kami berharap program ini dapat terus menjadi platform yang melahirkan generasi yang cintakan warisan bangsa,” ujarnya.
Sementara itu, YBrs. Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin, Ketua Felo Kolej Harun Aminurrashid menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang mampu memperkasa jati diri mahasiswa melalui penghayatan seni warisan negara.



“Pantun merupakan khazanah budaya yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda. Melalui program seperti ini, mahasiswa bukan sahaja dapat mengasah bakat, malah membina keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran berkomunikasi secara berhemah,” katanya.
Felo Penasihat Program, YBrs. Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim pula menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan mahasiswa perlu dipupuk melalui program yang menyatukan pelbagai latar belakang dan budaya.
“Mahasiswa merupakan golongan yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Oleh itu, semangat perpaduan, toleransi dan hormat-menghormati perlu diterapkan agar mereka dapat hidup dalam suasana yang harmoni serta menjadi pencorak masyarakat yang bersatu padu,” jelas beliau.



Sepanjang program berlangsung, para peserta telah melalui beberapa peringkat pertandingan sebelum empat pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya beraksi dalam perlawanan akhir. Pada pertandingan akhir, pasukan Indera dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) B berjaya dinobatkan sebagai johan, manakala pasukan Adyakala Budi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A muncul sebagai naib johan. Pasukan Rentaka (UiTM A) dan Laleng Rahayu (UIAM B) pula berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Anugerah Pemantun Terbaik Akhir telah disandang oleh Putri Nurizzah Salimah binti Mohamad Zainuddin daripada pasukan Indera daripada Universiti Teknologi Mara. Selain itu, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai kecemerlangan dan kreativiti peserta sepanjang temasya berlangsung, antaranya Anugerah Busana Terbaik, Anugerah Pembukaan Terbaik dan Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pejabat YAB Menteri Besar Perak, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak serta GEMAWAN atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada semua penaja, juri, urus setia, peserta serta tetamu jemputan yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran PANTERA: Temasya Pantun Bitara Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak 2026. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memartabatkan seni pantun, memperkukuhkan identiti budaya serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda Malaysia.

