Oleh: Nur Aimi Diyana Abdul Halim
Tanjong Malim, 24 Mei 2026 – Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI telah berjaya menganjurkan Program Pensijilan Profesional Ulul Albab Tahap Pertengahan Siri Ke-8 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei 2026 di Bilik Seminar Pusat Pelajar, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS), UPSI.



Program yang menghimpunkan seramai 40 orang peserta ini merupakan antara inisiatif strategik Pusat Ulul Albab UPSI dalam memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan kerangka Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Pendekatan holistik ini bertujuan melahirkan mahasiswa profesional khalifah yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual, kepimpinan serta kemahiran insaniah selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Program dimulakan dengan slot Quranik 1: Qalbu Hati yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nor Azah Abdul Aziz. Beliau menghuraikan konsep Ulul Albab berdasarkan Surah al-Maidah ayat 100 serta pandangan Imam al-Ghazali mengenai hati sebagai pusat pembentukan sahsiah dan kerohanian insan. Pengisian tersebut turut mengupas hubungan antara ibadah dan kesejahteraan diri melalui dapatan kajian saintifik berkaitan kesan solat terhadap tekanan darah dan kadar denyutan jantung. Selain itu, peserta diberikan kefahaman tentang kepentingan memelihara hati daripada penyakit rohani melalui ilmu, mujahadah dan persekitaran yang positif agar mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah as-Syams.



Pada sebelah malam, slot Quranik 2: Jiwa Kacau telah dikendalikan oleh Dr. Ahmad Amri Zainal Adnan. Beliau menekankan bahawa ujian kehidupan merupakan sunnatullah yang mendidik manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berpandukan Surah Ali ‘Imran ayat 190 dan Surah al-Baqarah ayat 155–158, beliau menjelaskan bahawa golongan Ulul Albab ialah mereka yang sentiasa berfikir, merenung dan mengambil hikmah daripada setiap ketentuan Ilahi. Pengisian ini turut mengangkat konsep sabar, reda dan penghayatan lafaz “Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un” sebagai manifestasi keimanan yang tulus. Menariknya, peserta turut didedahkan kepada kajian saintifik yang menunjukkan amalan zikir mampu memberi kesan positif terhadap gelombang otak serta kestabilan emosi manusia.



Hari kedua program diteruskan dengan slot Quranik 3: Kompas Jiwa yang disampaikan oleh Dr. Sakinah Salleh. Beliau mengetengahkan al-Quran sebagai panduan hidup yang komprehensif melalui keajaiban mukjizat, keindahan bahasa, nilai saintifik, pendidikan, spiritual dan pembinaan tamadun Islam. Pengisian ini turut mengupas konsep Islam, iman dan ihsan sebagai asas pembentukan insan Ulul Albab, di samping mengangkat kisah Ashabul Ukhdud dalam Surah al-Buruj sebagai simbol keteguhan akidah dan prinsip kehidupan. Menurut beliau, manusia memerlukan “kompas jiwa” yang berpaksikan wahyu bagi memastikan setiap langkah kehidupan sentiasa berada dalam landasan keredaan Allah SWT.



Dimensi ensiklopedik pula dimulakan melalui slot Spice with Polite and Positive English yang disampaikan oleh Sir Mohd. Zahren Zakaria. Slot yang berlangsung sepenuhnya dalam bahasa Inggeris ini memberi penekanan terhadap kemahiran komunikasi beretika dan profesional berasaskan nilai-nilai al-Quran seperti Speak Kindly, Speak Truthfully dan Speak Gently. Melalui pelbagai aktiviti simulasi dan role-play, peserta berpeluang mempraktikkan teknik komunikasi yang berkesan termasuk cara menyampaikan pandangan, mengakui kesilapan dan memohon maaf secara profesional. Pengisian ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta bahawa komunikasi yang baik merupakan asas kepada pembentukan hubungan sosial yang harmoni dan budaya kerja yang positif.



Seterusnya, slot Pitch and Sell Your Ideas yang dikendalikan oleh Dr. Sayed Muhd Arif Syed Yahya bersama Encik Sadzali Hassan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pembentangan dan penyampaian idea secara profesional. Peserta didedahkan dengan teknik komunikasi berkesan, pembinaan keyakinan diri serta penggunaan aplikasi Microsoft PowerPoint secara optimum bagi menghasilkan persembahan yang berkualiti. Aktiviti berkumpulan yang dijalankan turut mencabar peserta untuk mempromosikan produk secara kreatif dan inovatif, sekali gus memperkukuh kemahiran berfikir serta bekerja dalam pasukan.
Pada sebelah malam, slot Pengurusan Masa yang disampaikan oleh Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin menekankan kepentingan pengurusan masa sebagai teras kecemerlangan diri. Beliau memperkenalkan kaedah penyusunan keutamaan berdasarkan empat kategori utama yang membantu peserta mengenal pasti fokus tindakan secara lebih sistematik. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan konsep sleep hacking yang menitikberatkan kepentingan jadual tidur yang teratur dalam meningkatkan fokus, kesihatan dan produktiviti harian. Slot ini membuka perspektif baharu bahawa pengurusan masa yang berkesan merupakan kunci kepada kejayaan akademik, kerjaya dan kehidupan peribadi.
Pada hari terakhir, dimensi ijtihadik menjadi fokus utama melalui slot One Moment Thousand Minds yang mengetengahkan konsep pemikiran kreatif dan inovatif berasaskan integrasi naqal, akal dan hati. Pengisian ini menghuraikan ciri-ciri pemikiran Ulul Albab yang berpandukan Surah Yusuf ayat 111 dan Surah az-Zumar ayat 18 serta menegaskan bahawa matlamat tertinggi inovasi adalah untuk mencapai hikmah dalam setiap tindakan dan keputusan. Aktiviti berkumpulan Sketch Blind yang dijalankan berjaya merangsang kreativiti peserta di samping meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.
Slot It’s All on Me pula memberi penekanan kepada pembangunan pemikiran kreatif dan inovatif melalui proses penjanaan idea serta penghasilan penyelesaian yang berimpak tinggi. Peserta didedahkan dengan perbezaan antara kreativiti dan inovasi serta kepentingan menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang praktikal dan bermanfaat. Pengisian ini mendorong peserta untuk berfikir secara kritis, berani mencetuskan idea baharu dan membina keyakinan diri sebagai agen perubahan dalam masyarakat.


Program diteruskan dengan slot Let’s Duit Now yang mengetengahkan penggunaan teknologi dan aplikasi digital dalam memasarkan idea serta membangunkan inovasi yang relevan dengan keperluan semasa. Peserta diperkenalkan dengan pelbagai platform dan alat digital yang mampu membantu proses penyelesaian masalah, penghasilan inovasi serta pengembangan idea secara lebih efektif dan berimpak. Program kemudiannya diakhiri dengan sesi peperiksaan sebagai medium penilaian terhadap tahap penguasaan ilmu dan kompetensi peserta sepanjang program berlangsung.
Secara keseluruhannya, Program Pensijilan Profesional Ulul Albab Tahap Pertengahan Siri Ke-8 membuktikan komitmen berterusan Pusat Ulul Albab UPSI dalam melahirkan generasi mahasiswa profesional khalifah yang unggul, seimbang dan berdaya saing. Melalui integrasi pengisian Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik, program ini bukan sahaja memperkayakan ilmu pengetahuan dan pengalaman peserta, malah membentuk pemikiran kritis, memperkukuh jati diri serta mempersiapkan mereka untuk tampil sebagai pemimpin masa depan yang berakhlak, berwibawa dan berpaksikan nilai-nilai al-Quran dalam mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks.
