Oleh: Ng Zhen Fan Shankar
Tanjong Malim – Program RHB Ocean Harmoni & RHB MySiswa Brand Challenge 2026 telah berjaya dilaksankan pada 20 hingga 22 Jun 2026 yang menghimpunkan penyertaan daripada 11 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia dengan penglibatan 23 kumpulan mahasiswa yang mempertaruhkan idea-idea inovatif dan penyelesaian kreatif bagi menangani pelbagai cabaran semasa selaras dengan usaha RHB Bank Berhad dalam memperkasakan komuniti dan menyokong pembangunan mampan.
Menurut Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Program RHB Ocean Harmoni dan RHB MySiswa Brand Challenge bukan sekadar pertandingan biasa, malah merupakan platform pembangunan modal insan yang holistik dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berinovatif dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta alam sekitar.
Beliau berkata program ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengasah kreativiti dan kemahiran perniagaan sambil didedahkan kepada nilai-nilai kemampanan melalui tema Ocean Harmoni yang menekankan kepentingan pemeliharaan ekosistem marin dan alam sekitar, di samping memperkukuhkan kemahiran kepimpinan serta kerja berpasukan menerusi pelbagai cabaran yang memerlukan kerjasama dan pemikiran strategik.



Tambah beliau, peserta turut memperoleh pengalaman industri sebenar melalui pendedahan kepada strategi penjenamaan dan pemasaran secara praktikal, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menjadi graduan yang lebih kompeten, berfikiran kritis dan mampu menyumbang kepada pembangunan mampan negara pada masa hadapan.
Pasukan Wealth Builders dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah dinobatkan sebagai Johan RHB MySiswa Brand Challenge 2026, manakala pasukan Seventeen Horizon dari Universiti Utara Malaysia muncul sebagai Johan Kategori Ocean Harmoni. Kedua-dua pasukan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penyertaan, plak penghargaan serta Geran Pelaksanaan (Implementation Grant) bernilai RM2,000 bagi merealisasikan idea dan projek yang dicadangkan.
Program ini berperanan sebagai platform strategik dalam mengasah potensi mahasiswa sebagai bakal pemimpin, inovator dan agen perubahan negara. Melalui proses pembangunan idea, penyelidikan serta sesi pembentangan, para peserta didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang mampu meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, komunikasi profesional dan kerja berpasukan. Selain menjadi medan persaingan yang sihat, program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk menghasilkan cadangan penyelesaian yang berimpak tinggi dalam aspek kelestarian, pembangunan komuniti dan inovasi sosial.
