Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Nurnazifa Yasmin binti Ahmad Faizal

Tanjong Malim, 5 Jun 2026 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap bidang pendidikan khas, Program Borak Santai NERO: Pengalaman Guru Pendidikan Khas anjuran Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 5 Jun 2026. Program tersebut berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di Pentas Utama, Blok 7, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI serta masyarakat umum. Penganjurannya mencerminkan komitmen mahasiswa Pendidikan Khas dalam memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan khas serta memperkukuh kefahaman mengenai peranan guru pendidikan khas dalam mendidik Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Pendidikan khas merupakan satu cabang pendidikan yang memberi tumpuan kepada keperluan pembelajaran individu yang mempunyai pelbagai ketidakupayaan dan keperluan khas. Seiring dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang inklusif dan prihatin, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan khas perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda dan masyarakat secara keseluruhannya. Justeru, program seperti ini berfungsi sebagai platform yang berkesan untuk menyebarkan maklumat, meningkatkan kefahaman serta menggalakkan masyarakat agar lebih peka terhadap keperluan dan hak golongan MBPK.

Objektif utama program adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai konsep, cabaran dan kepentingan pendidikan khas di Malaysia. Selain itu, program ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan guru pendidikan khas serta kepentingan sokongan komuniti dalam memastikan perkembangan dan kesejahteraan MBPK.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengikuti sesi perkongsian yang disampaikan oleh Dak NERO (Fakhrul Fikri Bin Abdul), seorang alumni UPSI yang kini dikenali sebagai pempengaruh media sosial. Beliau berkongsi pelbagai pengalaman, cabaran dan kisah inspirasi sepanjang bergelar guru pendidikan khas, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas tentang realiti tugas seorang pendidik dalam bidang tersebut.

Sesi perkongsian yang berlangsung secara santai dan interaktif itu bukan sahaja menambah pengetahuan peserta, malah berjaya membuka perspektif baharu mengenai kepentingan kesabaran, dedikasi dan komitmen dalam mendidik murid yang mempunyai pelbagai keperluan pembelajaran. Pengalaman yang dikongsikan turut menjadi sumber inspirasi kepada para peserta, khususnya mahasiswa Pendidikan Khas, untuk terus berusaha menjadi pendidik yang berwibawa, berempati dan berdedikasi pada masa hadapan.

Antara impak utama program ini ialah peningkatan tahap kesedaran dan pengetahuan peserta berkaitan bidang pendidikan khas. Di samping itu, program ini berjaya memupuk nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada seorang guru pendidikan khas, peserta dapat memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi oleh para pendidik serta menghargai usaha mereka dalam memastikan setiap murid memperoleh peluang pendidikan yang berkualiti dan bermakna.

Program ini telah dilaksanakan dengan bimbingan Penasihat Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), Dr. Vestly Kong Liang Soon serta diterajui oleh Yang Dipertua PM2PK, Syarfa Aliah Binti Syaiful Azhar, bersama Pengarah Program, Nurnazifa Yasmin Binti Ahmad Faizal dan Timbalan Pengarah Program, Fatin Nurainina Syahira Binti Sabrini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada Ketua Jabatan Pendidikan Khas atas segala sokongan, dorongan dan kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Penghargaan khas turut diberikan kepada Dr. Vestly Kong Liang Soon atas bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan program. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada seluruh ahli jawatankuasa yang telah mencurahkan tenaga, masa dan komitmen bagi memastikan program ini berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, Program Borak Santai NERO: Pengalaman Guru Pendidikan Khas telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya dan memberikan impak positif kepada semua peserta yang terlibat. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran serta kefahaman berkaitan pendidikan khas, malah turut memupuk nilai empati, keterbukaan dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pelbagai pengisian yang lebih menarik dan berimpak tinggi agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pihak.