Disediakan oleh: Nurul Syazliyana binti Rosli, Noor Syifa’ binti Bahavudin & Profesor ChM. Dr. Azlan bin Kamari
KAMPUNG SELISEK, 20 Jun 2026 – Dalam usaha memperkukuh kesedaran komuniti terhadap kelestarian alam sekitar, pelajar semester 6 kursus SKU3053 Industri dan Isu Semasa dalam Kimia di bawah seliaan Profesor ChM. Dr. Azlan bin Kamari, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI telah menganjurkan program SULAM RESOAP: From Waste to Worth – Turning Used Cooking Oil into Soap dengan kerjasama Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI Sempena Maal Hijrah 1448H di Dewan Serbaguna Kampung Selisek, Hulu Selangor, Selangor.
Penganjuran program SULAM tersebut telah mendapat kerjasama dan sokongan yang sangat baik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Ketua Kampung Selisek. Kira-kira 600 orang penduduk daripada Kampung Selisik, Kampung Bahom, Kampung Sekolah, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Sungai Nilam dan Kampung Sungai Pagi telah hadir ke program tersebut. Objektif utama program SULAM ini adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kaedah penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai serta meningkatkan kesedaran terhadap amalan kitar semula dan kelestarian alam sekitar.

cenderahati

oleh pelajar UPSI

YB Senator
Program SULAM tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Senator menekankan kepentingan penglibatan komuniti dalam usaha kelestarian alam selaras dengan nilai MADANI. Di samping itu, beliau turut menyokong penganjuran program tersebut kerana bertepatan dengan aspirasi SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program SULAM tersebut beliau percaya minat murid sekolah untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dipertingkatkan.
Selepas acara perasmian, Yang Berhormat Senator melawat reruai pameran produk sabun. Beliau berbesar hati untuk turut serta dalam sesi demonstrasi pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Beliau mengambil peluang tersebut untuk beramah mesra bersama komuniti yang mengambil bahagian dalam sesi pembuatan sabun.

sabun

penduduk kampung

kanak – kanak
Pelbagai aktiviti turut dijalankan termasuk pertandingan mengukir sabun, kuiz sains, pertandingan mewarna serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar UPSI, khususnya dalam meningkatkan teknik penyampaian ilmu pengetahuan kepada komuniti malah menanamkan semangat kekeluargaan kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, diharapkan program SULAM seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah berterusan dalam memberi pendedahan kepada komuniti tentang inovasi penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai, di samping memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti. Ini juga adalah selaras dengan lima teras utama Jiwa UPSI, iaitu Jiwa Ketaqwaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik.

