Tanjung Malim, Perak – Sekumpulan mahasiswa daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya melaksanakan Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Pusat Tuisyen Cakna Ilmu (PTCI), Tanjung Malim sebagai sebahagian daripada tugasan kursus Matematik (SMU3013). Program ini bertujuan membantu meningkatkan penguasaan Matematik dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5 melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan berfokus.
Program ini menggunakan modul “Math Workout Workbook” yang dibangunkan berasaskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Melalui modul tersebut, pelajar didedahkan kepada teknik penyelesaian masalah yang sistematik, strategi menjawab soalan dengan lebih berkesan serta kaedah pemikiran logik bagi meningkatkan kefahaman terhadap konsep-konsep Matematik. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keyakinan pelajar dalam menjawab soalan serta mengurangkan miskonsepsi yang sering berlaku dalam pembelajaran Matematik.
Seramai 14 orang mahasiswa UPSI bersama 12 orang pelajar Pusat Tuisyen Cakna Ilmu telah terlibat dalam program ini. Sepanjang sesi pembelajaran, mahasiswa bertindak sebagai fasilitator dengan membimbing pelajar secara berpasangan menggunakan modul yang telah disediakan. Pendekatan ini membolehkan setiap pelajar menerima bimbingan secara lebih dekat mengikut tahap kefahaman masing-masing.



Selain memberi manfaat kepada komuniti, program ini turut menjadi platform kepada mahasiswa UPSI untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran pedagogi yang dipelajari di universiti dalam situasi sebenar. Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pelajar membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran komunikasi, penyampaian ilmu, pengurusan bilik darjah serta profesionalisme sebagai bakal pendidik.
Program SULAM ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara Fakulti Sains dan Matematik UPSI dengan Pusat Tuisyen Cakna Ilmu pada masa hadapan melalui pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa penglibatan institusi pengajian tinggi bersama komuniti mampu menyumbang kepada pembangunan pendidikan, di samping melahirkan graduan yang holistik, berkemahiran dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
