Oleh: Nukhairiah Zahirah Kamalul Bahrain
Kapar, Selangor, 23 Jun 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program BakauXperience, yang menyaksikan penanaman 2,500 anak pokok bakau di Hutan Simpan Kekal Kapar Tambahan sebagai usaha memulihara ekosistem pesisir pantai dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15: Life on Land.
Program anjuran Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Skuad MahasiswaPrihatin itu menjadi platform pembangunan sahsiah mahasiswa melalui penglibatan langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar berasaskan nilai Ulul Albab.



Pengarah Program, Muhammad Nazim bin Zainal, berkata program tersebut bukan sekadar aktiviti penanaman pokok, malah menjadi manifestasi komitmen mahasiswa terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Setiap pokok bakau yang ditanam hari ini merupakan pelaburan untuk masa depan. Semoga pengalaman ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha memelihara alam sekitar serta membentuk mahasiswa yang sentiasa menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Pusat Ulul Albab UPSI, Puan Nor Hayati binti Aziz, berkata program seumpama ini berperanan besar dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan kelestarian alam.



“Pemeliharaan alam sekitar merupakan manifestasi nilai ihsan dan amanah yang perlu diterapkan dalam diri setiap mahasiswa. Program seperti ini membuktikan bahawa pendidikan mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah bertanggungjawab terhadap kesejahteraan bumi dan masyarakat,” ujarnya.
Mewakili Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Penolong Pemelihara Hutan, Encik Ramlee bin Ahmad, menjelaskan bahawa ekosistem paya bakau memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi dalam melindungi kawasan pesisir daripada hakisan, ombak besar dan ribut di samping menjadi habitat pelbagai spesies hidupan.
Beliau turut menggalakkan para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program sebagai bekalan untuk terus menjadi ejen perubahan dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.
Dalam masa yang sama, Penolong Pemelihara Hutan JPNS, Encik Abd Halim bin Md Yassin, menzahirkan penghargaan terhadap komitmen UPSI dalam menjayakan inisiatif penghijauan negara. Beliau berharap kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan JPNS dapat diperkukuh bagi memastikan usaha pemuliharaan hutan simpan kekal dilaksanakan secara berterusan.
Menerusi program ini, sebanyak 2,500 anak pokok Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) berjaya ditanam di kawasan Hutan Simpan Kekal Kapar Tambahan. Keseluruhan anak pokok tersebut merupakan sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang turut menyediakan kepakaran teknikal, peralatan, logistik dan makanan kepada peserta, melibatkan nilai sumbangan keseluruhan sebanyak RM31,132.00.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut mendapat sokongan barisan pentadbir universiti, pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, ahli jawatankuasa pelaksana serta mahasiswa yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pelaksanaan aktiviti.
Penganjuran Program BakauXperience bukan sahaja menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti dan peningkatan kualiti ekosistem hutan bakau, malah membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan holistik yang cakna terhadap kelestarian alam sekitar serta memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju pembangunan komuniti dan kelestarian negara.

