Oleh:Arosce Morisin
Tanjung Malim, 14 Jun 2026 –Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan “Karnival Kesihatan IKSAS 2026”, melalui anjuran Exco Perumahan, program yang berfokus kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental serta menggalakkan amalan pendermaan darah dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat. Program yang berlangsung selama dua hari ini, mendapat kerjasama daripada Hospital Tapah Perak dan Klinik Pergigian Tanjung Malim.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mendalam dalam kalangan warga UPSI dan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan secara holistik. Selain itu, program ini turut berusaha menarik minat serta menggalakkan penyertaan aktif mahasiswa dan masyarakat awam untuk tampil sebagai penderma darah sukarela bagi membantu menampung keperluan bekalan darah dalam negara khususnya di Hospital Tapah Perak.
Pada hari pertama “Karnival Kesihatan IKSAS 2026” dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sebelum majlis perasmian rasmi berlangsung. Majlis tersebut diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan, bacaan doa, ucapan daripada pengarah program saudari, Violetta Valentia Vincent, seterusnya ucapan daripada Naib Yang Dipertua 1 saudara, Wendiyleiod Egum serta perasmi program Dr, Nurzaimah binti Asalal.
Seterusnya, para peserta juga berpeluang mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh wakil Hospital Tapah iaitu Dr. Savithiri Bandiloo dan taklimat berkaitan dengan kesihatan gigi daripada Dr Ghayathri a/p Vijaya Kumuran wakil Klinik Pergigian Tanjung Malim berkaitan kesedaran kesihatan, penjagaan kebersihan mulut serta kepentingan pendermaan darah.
Antara aktiviti utama yang menjadi tumpuan ialah Sesi Derma Darah, Pemeriksaan Gigi Percuma, Pemerikasaan Saringan HIV dan terdapat juga Pameran Kesihatan (Open Booth) yang berlangsung sepanjang program brlangsung. Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai mahasiswa UPSI hadir untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta menyertai aktiviti pendermaan darah. Program ini secara tidak langsung membantu menyokong usaha Hospital Tapah dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi kegunaan kecemasan dan rawatan pesakit yang memerlukan.
Hari kedua karnival diteruskan secara dalam talian menerusi E-Forum Living With Anxiety yang berlangsung dari pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam melalui platform Google Meet. Forum ini menampilkan dua orang panel jemputan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Encik Fakhruddin Faris bin Nazri, Pegawai Tadbir (Psikologi Klinikal), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Cik Anis Arina Agilan binti Roslee, seorang pempengaruh media sosial. Perkongsian yang disampaikan oleh kedua-dua panel memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu kebimbangan (anxiety), kepentingan menjaga kesihatan mental serta kaedah menangani tekanan dalam kehidupan seharian.
Sepanjang sesi forum, para peserta berpeluang mendengar pandangan profesional berkaitan kesihatan mental daripada Encik Fakhruddin Faris bin Nazri yang berkongsi tentang tanda-tanda kebimbangan, faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental serta langkah-langkah mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Sementara itu, Cik Anis Arina Agilan binti Roslee turut berkongsi pengalaman dan perspektif beliau sebagai pempengaruh media sosial dalam mengurus tekanan serta cabaran yang dihadapi dalam era digital masa kini.
Forum yang berlangsung selama dua jam itu turut disertakan dengan sesi soal jawab interaktif dan cabutan tiket bertuah yang berjaya menarik perhatian peserta. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, malah membuka ruang kepada mahasiswa dan masyarakat untuk berbincang secara terbuka mengenai isu kesejahteraan emosi dalam persekitaran yang positif dan menyokong.

Melalui pelaksanaan Karnival Kesihatan IKSAS 2026, pihak penganjur berjaya memperkukuh hubungan dan jaringan kolaborasi strategik antara UPSI dengan agensi kesihatan serta masyarakat luar. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi pengetahuan dan kesedaran kesihatan, malah turut menyemai semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Secara keseluruhannya, Karnival Kesihatan IKSAS 2026 telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri, kesejahteraan mental dan kepentingan membantu insan lain melalui amalan pendermaan darah.
