Para peserta bergambar bersama Tuan Mohd Azhan Bin Mohd Adnan (Abbe Hae) setelah selesai programPara peserta bergambar bersama Tuan Mohd Azhan Bin Mohd Adnan (Abbe Hae) setelah selesai program

Oleh: Muhammad Nazim Zainal & Pn.Nor Hayati Aziz

Kuala Lumpur, 28 Jun 2026 – Di sebalik kemodenan dan kesibukan ibu kota, masih terdapat komuniti yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan serta memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat. Menyedari hakikat tersebut, Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Di Sebalik Kota: Street of Hope, sebagai platform untuk menyemai nilai kemanusiaan, empati dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Program yang melibatkan 38 orang mahasiswa UPSI itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh serta Pertubuhan Jejak Jalanan, bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai realiti kehidupan komuniti gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, di samping memupuk rasa tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan.

Pihak UPSI menyerahkan Board Heart 2 Society kepada Puan Nor Akmar Binti Ali
Para peserta bergambar bersama komuniti gelandangan Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh

Peserta menyampaikan bantuan pakaian kepada gelandangan

Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, program ini membuktikan bahawa proses pendidikan tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, sebaliknya turut diperkaya melalui pengalaman lapangan yang membentuk sahsiah, keprihatinan dan jati diri mahasiswa.

Sebelum program berlangsung, warga UPSI bersama komuniti Pre Loved UPSI telah berganding bahu mengumpulkan sumbangan berupa makanan, minuman, pakaian, peralatan mandian serta pelbagai keperluan asas. Kesemua sumbangan tersebut diagihkan kepada komuniti gelandangan sepanjang program berlangsung.

Peserta memberikan bantuan makanan kepada gelandangan

Program dimulakan di Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh, Chow Kit menerusi slot Human Connection yang memberi ruang kepada peserta mendekati komuniti gelandangan secara lebih dekat. Melalui sesi interaksi santai dan perkongsian pengalaman, peserta didedahkan kepada realiti kehidupan yang jarang diketahui masyarakat sekali gus menyemai nilai empati serta penghargaan terhadap setiap insan.

Slot tersebut diteruskan dengan Cinta Surah yang dikendalikan oleh saudari Aisyah Amirah dan saudari Nur Nazatul Syazwani melalui penghayatan Surah Al-Asr. Perkongsian ini menekankan kepentingan menghargai masa, memperbanyakkan amal soleh serta saling mengingatkan kepada kebenaran dan kesabaran sebagai panduan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Peserta turut mengikuti slot Khat 2 Heart yang dikendalikan oleh saudara Tuan Zimam Shafiq menerusi aktiviti seni khat berteraskan nilai-nilai murni seperti hormat, syukur, sabar, tabah, prihatin dan adil. Aktiviti tersebut bukan sekadar memperkenalkan seni khat, malah menjadi medium komunikasi yang merapatkan hubungan antara peserta dan komuniti gelandangan melalui perkongsian pengalaman hidup.

Suasana menjadi lebih menyentuh hati menerusi slot Heart 2 Society yang dikendalikan oleh saudara Muhammad  Shahir. Sesi perkongsian pengalaman secara terbuka membolehkan peserta memahami cabaran sebenar yang dihadapi komuniti gelandangan, sekali gus membuka perspektif baharu tentang nilai ketabahan, harapan dan kekuatan dalam meneruskan kehidupan. Slot ini diakhiri dengan penghayatan Doa Rabitah yang dipimpin oleh saudara Muhammad Badrul Amin sebagai simbol penyatuan hati dan ukhuwah sesama peserta.

Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Puan Nor Akmar Binti Ali, Pengerusi merangkap Pengasas Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh yang merakamkan penghargaan kepada UPSI atas komitmen dalam mendekati komuniti gelandangan. Beliau menegaskan bahawa setiap insan berhak diberikan peluang, kasih sayang dan layanan yang bermaruah tanpa mengira latar belakang kehidupan.

Sementara itu, Penasihat Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI, Puan Nor Hayati Binti Aziz berharap program seumpama ini mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kepekaan sosial, nilai ihsan serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Menjelang malam, peserta menyertai slot Hope Outreach yang dikendalikan oleh Tuan Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, Ketua Aktivis merangkap Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan. Misi agihan bantuan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk Jalan Silang, Segi College, Cahaya Suria/UTC dan Central Market.

Tuan Mohd Azhan Bin Mohd Adnan memberikan nasihat kepada para peserta
Penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Dr. Wan Nurul Izza Binti Wan Husin

Sepanjang sesi outreach, peserta mengagihkan makanan, minuman, pakaian dan keperluan asas kepada komuniti gelandangan. Lebih bermakna daripada bantuan yang disalurkan ialah peluang untuk berinteraksi, mendengar kisah kehidupan mereka serta memahami bahawa di sebalik setiap cabaran yang dihadapi masih tersimpan harapan, maruah dan impian untuk meneruskan kehidupan.

Program diakhiri dengan ucapan daripada wakil pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut. Turut menyampaikan amanat ialah Tuan Mohd Azhan Mohd Adnan yang mengajak para peserta agar terus menjadi insan yang membawa manfaat kepada masyarakat melalui akhlak, keikhlasan dan semangat kesukarelawanan.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Binti Wan Husin,. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, sukarelawan dan penyumbang yang menjayakan program ini serta berharap pengalaman yang diperoleh menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk terus menyumbang kepada masyarakat secara berterusan.

Secara keseluruhannya, Di Sebalik Kota: Street of Hope bukan sekadar program kesukarelawanan, malah merupakan platform pembelajaran berimpak tinggi yang berjaya membentuk sahsiah mahasiswa melalui pengalaman sebenar bersama komuniti. Program ini memperkukuh nilai empati, kesyukuran dan tanggungjawab sosial, sekali gus membuktikan bahawa gabungan ilmu, nilai kemanusiaan dan kolaborasi strategik mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah berjiwa ihsan serta komited menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.