Oleh: Nurul Natasha Abdullah
TANJONG MALIM, 14 Jun – Seramai 55 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai program Next Gen Faci: Let’s Grow Your Skill yang dianjurkan bagi memperkasakan kompetensi serta membentuk barisan fasilitator mahasiswa yang berkeyakinan, profesional dan berketerampilan dalam mengendalikan pelbagai program pembangunan pelajar.
Program sehari yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam itu merupakan anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam aspek pengucapan awam, teknik penyampaian berkesan, pengendalian audiens serta pembinaan modul latihan yang sistematik dan berkualiti.



Bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran, program ini menampilkan tenaga pengajar daripada Attitude Training & Consultancy (ATC) yang berpengalaman dalam bidang latihan fasilitator. Perkongsian ilmu disampaikan oleh Encik Mohd Farahin Ibaharudin, Encik Afif Azhar dan Ustaz Muhammad Farhan Afnan Abdul Talib dengan dibantu oleh 17 orang ahli jawatankuasa KeSUA yang turut bertindak sebagai fasilitator sepanjang program berlangsung.
Sepanjang program, peserta mengikuti empat modul utama iaitu How to Manage Our Program, How to Tackle Your Audience, How to Present Your Module dan How to Create Your Module Activities, yang dirangka bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran asas dan lanjutan sebagai fasilitator.
Modul How to Manage Our Program memberi penekanan kepada peranan fasilitator dalam merancang, mengurus dan mengendalikan pelbagai bentuk program seperti motivasi, kepimpinan, ibadah, usrah, orientasi dan pembinaan pasukan. Peserta didedahkan kepada fungsi fasilitator mengikut keperluan program, di samping memahami kepentingan membentuk pemikiran yang positif, kreatif, proaktif dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap program mencapai objektif yang ditetapkan.
Selain itu, peserta turut mempelajari teknik mengubah persepsi negatif terhadap program melalui pendekatan yang lebih interaktif, kreatif dan mesra peserta. Penggunaan komunikasi dua hala serta aktiviti yang menarik dilihat mampu meningkatkan penglibatan dan pengalaman pembelajaran peserta.
Sementara itu, modul How to Tackle Your Audience memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi secara efektif serta teknik mengendalikan audiens dengan yakin. Modul ini amat signifikan khususnya kepada bakal guru kerana mereka bukan sahaja perlu menyampaikan ilmu, malah berupaya menarik perhatian, mengawal suasana pembelajaran dan memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami dengan berkesan.


Modul How to Present Your Module pula memberi penekanan kepada teknik penyampaian modul yang menarik melalui penggunaan bahasa badan, intonasi suara, kawalan suara, pengurusan masa dan penyusunan isi kandungan secara sistematik. Peserta turut didedahkan kepada kepentingan membina hubungan yang baik dengan peserta bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, kondusif dan berimpak.
Bagi mengukuhkan kefahaman, peserta diberi peluang melaksanakan simulasi pembentangan modul secara berkumpulan berdasarkan situasi yang ditetapkan. Setiap kumpulan membentangkan modul masing-masing sebelum menerima ulasan dan maklum balas secara langsung daripada penceramah. Aktiviti ini berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti, kepimpinan serta keyakinan peserta dalam mengendalikan sesuatu program.
Program diteruskan dengan modul How to Create Your Module Activities yang memberi pendedahan kepada proses pembinaan modul secara sistematik dan kreatif. Peserta mempelajari kaedah mengenal pasti objektif pembelajaran, kumpulan sasaran, penyusunan kandungan serta pemilihan aktiviti yang bersesuaian bagi mencapai hasil pembelajaran yang dihasratkan.
Melalui aktiviti berkumpulan, peserta dikehendaki membangunkan sebuah modul lengkap berdasarkan tema yang diberikan dengan merancang objektif, kaedah pelaksanaan, tempoh masa, bahan yang diperlukan serta hasil pembelajaran. Sesi pembentangan pada akhir slot membolehkan peserta memperoleh maklum balas yang konstruktif daripada penceramah bagi menambah baik kualiti modul yang dihasilkan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Samsuddin Abd. Hamid, Dalam ucapannya, beliau berkata “Fasilitator bukan sekadar mengendalikan aktiviti, tetapi merupakan pemudah cara yang berperanan membentuk sahsiah, memupuk kepimpinan serta mencorakkan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada setiap peserta. Oleh itu, setiap fasilitator perlu sentiasa memperkukuh ilmu, kemahiran dan nilai profesionalisme agar mampu menjadi pemimpin yang memberi inspirasi kepada orang lain.”
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan mahasiswa pada hari ini bukan hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, malah turut bergantung kepada penguasaan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis, kreativiti dan kebolehan bekerja secara berpasukan.
Sementara itu, salah seorang peserta, Nur Aisyah Binti Ahmad berkata, program tersebut membuka dimensi baharu tentang peranan sebenar seorang fasilitator.
“Saya memperoleh banyak ilmu baharu khususnya dalam aspek penyampaian modul, pengurusan audiens dan pembinaan aktiviti yang kreatif. Latihan secara praktikal serta maklum balas daripada penceramah benar-benar meningkatkan keyakinan saya untuk menjadi fasilitator yang lebih berkesan pada masa hadapan.”
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah daripada Attitude Training & Consultancy (ATC) serta sesi bergambar sebagai simbol penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Next Gen Faci: Let’s Grow Your Skill.
