Naqib menyampaikan pengisian tadabbur al-Quran kepada para peserta.Naqib menyampaikan pengisian tadabbur al-Quran kepada para peserta.

Oleh: Siti Nur Hidayati Syed Aziz

TANJONG MALIM, 13 Jun – Komitmen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, sahsiah dan kerohanian terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Program Pro Quranic Class 4.0 anjuran Exco Kerohanian, Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Pusat Ulul Albab UPSI.

Program yang berlangsung bermula 4 April hingga 13 Jun 2026 itu diadakan pada setiap hari Sabtu, dari 9.00 malam hingga 10.30 malam, menggunakan pendekatan hibrid menerusi platform Google Meet dan sesi bersemuka bagi memberi fleksibiliti kepada penyertaan mahasiswa.

Penganjuran program ini bertujuan memperkasakan kemahiran bacaan al-Quran dalam kalangan mahasiswa melalui kaedah talaqqi, di samping menyemai kecintaan terhadap al-Quran menerusi penghayatan ayat-ayat suci melalui sesi tadabbur yang dilaksanakan secara konsisten setiap minggu. Penekanan turut diberikan kepada penguasaan hukum tajwid, makhraj huruf serta pembentukan akhlak dan nilai kehidupan berteraskan al-Quran.

Sepanjang pelaksanaan program, seramai tujuh orang naqibah telah dilantik untuk membimbing peserta dalam kumpulan kecil. Pendekatan halaqah ini membolehkan setiap peserta menerima bimbingan secara lebih dekat dan sistematik, bermula dengan sesi tasmik bacaan al-Quran sebelum diteruskan dengan penerangan hukum tajwid serta tadabbur surah yang disusun mengikut silibus program.

Kaedah pembelajaran secara berkumpulan bukan sahaja membantu peserta meningkatkan kelancaran bacaan al-Quran, malah menggalakkan interaksi dua hala, perkongsian ilmu serta membentuk budaya saling menyokong dalam kalangan mahasiswa. Suasana pembelajaran yang kondusif ini turut memberi ruang kepada peserta untuk bertanya, memperbetulkan bacaan dan mendalami mesej yang terkandung dalam setiap ayat al-Quran.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila para peserta menunjukkan komitmen tinggi dengan menghadiri sesi kelas secara konsisten sepanjang tempoh pelaksanaan. Hubungan erat yang terjalin antara peserta dan naqibah berjaya mewujudkan sebuah komuniti pembelajaran al-Quran yang harmoni, mesra dan berteraskan ukhuwah.

Menurut Pengarah Program, saudari Siti Nur Hidayati binti Syed Aziz, Pro Quranic Class 4.0 bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek bacaan yang tepat, malah berusaha membentuk mahasiswa yang mampu memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Kami berharap program ini menjadi platform yang berterusan dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja fasih membaca al-Quran, bahkan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam membentuk peribadi, kepimpinan dan kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI, Dr. Sakinah Salleh, berkata program seperti Pro Quranic Class 4.0 merupakan antara inisiatif berterusan PUA dalam memperkukuh pembangunan rohani mahasiswa seiring dengan usaha melahirkan graduan holistik yang menguasai ilmu serta berakhlak mulia.

“Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dengan baik, tetapi perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Melalui Pro Quranic Class 4.0, kita bukan sahaja membimbing mahasiswa memperbetulkan bacaan mengikut hukum tajwid, malah membentuk jiwa yang cintakan al-Quran serta menjadikannya sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.”

Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diperluaskan penyertaannya pada masa hadapan agar lebih ramai mahasiswa UPSI mendapat manfaat daripada bimbingan talaqqi, tadabbur dan pembelajaran secara halaqah.

Sesi perkongsian ilmu bersama naqibah dalam suasana yang mesra dan santai.
Sesi tadabbur al-Quran oleh naqibah secara atas talian bersama peserta.
Sesi tadabbur al-Quran oleh naqibah secara atas talian bersama peserta.

Secara keseluruhannya, Pro Quranic Class 4.0 berjaya mencapai objektif yang disasarkan dalam memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran serta meningkatkan penghayatan terhadap isi kandungannya. Program seumpama ini selari dengan aspirasi Pusat Ulul Albab UPSI untuk melahirkan graduan yang memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kekuatan spiritual dan kemantapan sahsiah berteraskan nilai-nilai al-Quran, sekali gus menyokong usaha UPSI melahirkan modal insan berjiwa Rabbani yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.