Projek Akhir Strong 100 Madarin Tahap 2Projek Akhir Strong 100 Madarin Tahap 2

Oleh: Nurul Iffah Kyoldon

Tanjong Malim – Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkasakan kompetensi bahasa asing mahasiswa menerusi pelaksanaan Kursus Bahasa Mandarin Tahap 2 di bawah Program Strong 100. Kursus yang berlangsung dari Februari hingga 24 Jun 2026 ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Bahasa Mandarin Tahap 1 bagi memperkukuh penguasaan bahasa secara lebih sistematik dan berperingkat.

Program anjuran Pusat Ulul Albab dengan kerjasama Exco Wacana Intelek, Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI ini telah dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Puan Nor Akmal Othman. Seramai 20 orang mahasiswa telah dipilih menyertai kursus ini yang berlangsung selama 10 minggu, dengan sesi pembelajaran selama dua jam pada setiap hari Sabtu secara bersemuka dan dalam talian.

Pendekatan pembelajaran secara hibrid ini memberi fleksibiliti kepada peserta untuk mengikuti kursus secara konsisten, sekali gus memastikan proses pembelajaran berlangsung dengan lebih berkesan dan berkualiti. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada empat kemahiran utama bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif serta berpusatkan pelajar. Mereka turut mempelajari sebutan Hanyu Pinyin, kosa kata, pembinaan ayat, tatabahasa, komunikasi harian serta ungkapan yang sesuai mengikut pelbagai situasi.

Bagi meningkatkan keyakinan berkomunikasi, peserta turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti praktikal seperti latihan dialog, simulasi situasi sebenar, perbincangan berkumpulan dan pembentangan. Penguasaan peserta dinilai secara berterusan melalui ujian bertulis dan ujian lisan bagi memastikan setiap hasil pembelajaran dapat dicapai dengan berkesan.

Selain aspek bahasa, kursus ini turut memberi penekanan kepada pemahaman budaya masyarakat Cina. Pendedahan terhadap nilai, norma dan etika masyarakat membantu peserta memahami bahawa pembelajaran bahasa asing bukan sekadar menguasai tatabahasa dan kosa kata, malah memerlukan kefahaman terhadap budaya penuturnya. Pendekatan ini sekali gus meningkatkan keupayaan peserta untuk berkomunikasi secara lebih berkesan dalam masyarakat majmuk dan persekitaran global.

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, berkata program seperti ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai kompetensi global.

“Penguasaan bahasa asing merupakan satu nilai tambah yang penting dalam membentuk graduan masa hadapan. Melalui Program Strong 100, mahasiswa bukan sahaja meningkatkan kemahiran berbahasa, malah mempelajari nilai budaya, membina keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran komunikasi antara budaya yang amat diperlukan dalam dunia pendidikan dan kerjaya pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Sepanjang pelaksanaan program, peserta menunjukkan komitmen yang tinggi melalui kehadiran yang konsisten serta penglibatan aktif dalam setiap aktiviti pembelajaran. Selain meningkatkan penguasaan Bahasa Mandarin, kursus ini turut membantu membina kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerja berpasukan, kepimpinan, pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah dan keyakinan diri.

Sesi pengajaran yang disampaikan oleh Laoshi Akmal
Sesi pengajaran yang disampaikan oleh Laoshi Akmal
Peserta Mandarin Tahap 2

Sebagai projek akhir Kursus Bahasa Mandarin Tahap 2, para peserta telah melaksanakan Program D.U.M.P. (Dari Uli Menjadi Perfect) pada 27 Jun 2026. Program berasaskan pembelajaran melalui pengalaman ini menjadi platform kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran Bahasa Mandarin yang dipelajari sepanjang tempoh kursus dalam situasi sebenar.

Menerusi aktiviti penyediaan dumpling bersama guru bahasa, ahli jawatankuasa dan rakan-rakan, peserta berpeluang berkomunikasi menggunakan Bahasa Mandarin secara lebih yakin dan autentik. Projek akhir ini bukan sahaja menggabungkan elemen bahasa dan budaya, malah memberi pengalaman pembelajaran yang praktikal, menyeronokkan serta bermakna kepada semua peserta.Secara keseluruhannya, Kursus Bahasa Mandarin Tahap 2 berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Mandarin, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan memperluas pemahaman peserta terhadap budaya masyarakat Cina.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa pendekatan yang menggabungkan pembelajaran teori, latihan praktikal dan pengalaman autentik mampu melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia global.