Oleh: Nurul Afiqah Nabilah Amirullah dan Muhammad Alif Ayub
Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) sidang 2025/2026 dikenali sebagai LUMINA yang membawa maksud Cahaya. LUMINA dibina atas enam nilai utama, iaitu Lestari, Unggul, Mesra, Intelek, Nadi dan Amanah. Nilai-nilai ini bukan sekadar identiti sidang, malah menjadi panduan dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil sepanjang tempoh kepimpinan. Berpegang kepada slogan “Cahaya Kepimpinan, Nadi Mahasiswa”, sidang ini berusaha menjadi cahaya yang membimbing mahasiswa ke arah kecemerlangan, serta menjadi nadi yang menghubungkan aspirasi, kebajikan dan pembangunan warga kolej.
Di bawah pimpinan Yang Dipertua, Muhammad Alif bin Ayub bersama 35 ahli MMKAHS serta sokongan daripada 137 Rakan Exco (REXCO), pelbagai usaha telah digerakkan bagi merealisasikan visi untuk menjadi pemangkin kepimpinan mahasiswa yang berwawasan dan berimpak ke arah kecemerlangan holistik serta misi untuk memacu kepimpinan dinamik, menggilap nilai intelektual mahasiswa dan memperkasa profesionalisme melalui program berkualiti yang mengangkat imej dan jenama kolej.



Sepanjang sidang ini, sebanyak 53 program berjaya dianjurkan merangkumi lapan program antarabangsa, 14 di peringkat kebangsaan dan negeri, manakala selebihnya melibatkan peringkat universiti dan kolej. Salah satu pencapaian paling bersejarah bagi LUMINA apabila berjaya menganjurkan KAHS International Unity Festival 2026, sebuah program berskala besar yang julung kali diadakan oleh Kolej Awang Had Salleh yang membuktikan LUMINA berupaya mencipta legasi baharu melalui penganjuran program berprestij yang bukan sahaja memberi impak kepada mahasiswa, malah mengangkat imej KAHS di peringkat yang lebih tinggi.
Bukan itu sahaja, Kolej Awang Had Salleh juga melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai Johan keseluruhan FREKUENSI dua tahun berturut-turut, Kejayaan LUMINA tidak terhenti di situ apabila MMKAHS berjaya membawa pulang enam pingat yang terdiri terdiri daripada dua emas, dua perak dan dua gangsa dalam Anugerah Kecemerlangan Kolej 2026. Kejayaan ini menjadi bukti hasil daripada kerjasama erat antara MMKAHS, REXCO, pihak pentadbiran kolej, barisan felo serta seluruh warga KAHS yang sentiasa menyokong setiap inisiatif yang dilaksanakan.
Segala kejayaan yang dikecapi sepanjang sidang ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen dan sokongan padu serta nasihat daripada pihak pentadbiran kolej serta barisan felo, Kerjasama, bimbingan dan kepercayaan yang diberikan menjadi pemangkin kepada kejayaan-kejayaan yang dikecapi sekali gus bersama mengharumkan nama Kolej Awang Had Salleh di pelbagai peringkat.



Di sebalik kejayaan dalam penganjuran program, aspek kebajikan penghuni juga tidak pernah dipinggirkan. Exco Kebajikan dan Perkhidmatan turut memainkan peranan dalam mengurus kebajikan pelajar khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan. Inisiatif seperti Food Bank dan Dapur Siswa turut diperkasa agar memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian.
Akhir kata, LUMINA bukan sekadar nama, ia merupakan simbol kepada kepimpinan yang menyinari potensi mahasiswa, mengangkat nama Kolej Awang Had Salleh dan meninggalkan jejak yang akan terus dikenang. Diharapkan, barisan barisan kepimpinan MMKAHS yang bakal meneruskan legasi ini dapat terus memimpin dengan penuh amanah dan mengutamakan kebajikan pelajar.
