Oleh: Dr. Mohammad Azri Amatan, Prof. Madya Dr. Hanifah & Gs. Dr. Nor Shahida Azali
Tanjung Malim, 14 Julai 2026 – Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jalinan strategik dengan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) menerusi penganjuran Kursus Pengukuhan Penulisan Penyelidikan dan Artikel Ilmiah INSTUN Tahun 2026 yang dianjurkan pada 13 dan 14 Julai 2026.
Kursus selama dua hari itu dikelola oleh INSTUN dengan kerjasama pihak UPSI dengan disertai seramai 37 peserta daripada kakitangan dan tenaga pengajar INSTUN. Program tersebut merupakan inisiatif sulung susulan penerusan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dengan INSTUN yang berlangsung pada 19 Jun 2026 lalu, khususnya dalam pembangunan profesional, penyelidikan, penerbitan dan perkongsian kepakaran akademik.


Program berkenaan disampaikan oleh pensyarah daripada Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, FSK UPSI, iaitu Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat dan Dr. Mohammad Azri Amatan, serta dibantu oleh Gs. Dr. Nor Shahida Azali. Pada hari pertama, Prof. Madya Dr. Hanifah menyampaikan ceramah berkaitan pengenalan kepada penyelidikan dan anatomi penulisan proposal penyelidikan. Peserta didedahkan tentang struktur asas proposal, penyediaan penyataan masalah serta pembentukan persoalan, matlamat dan objektif kajian yang jelas dan saling berkaitan.
Dr. Mohammad Azri dan Gs. Dr. Nor Shahida Azali pula mengendalikan sesi bimbingan peserta dalam aspek penyediaan sorotan literatur serta proses pembentukan kerangka konseptual dan teoretikal. Sesi tersebut memberi penekanan terhadap kaedah memilih, menilai dan mensintesis sumber ilmiah, mengenal pasti jurang penyelidikan serta membina kerangka kajian yang bersesuaian.
Pada hari kedua, peserta diberikan pendedahan tentang penyediaan draf artikel ilmiah, meliputi penulisan tajuk, abstrak, pengenalan, metodologi, dapatan, perbincangan dan kesimpulan. Aspek kesinambungan idea, penggunaan bahasa akademik, ketepatan rujukan dan pematuhan terhadap format jurnal turut diberikan perhatian.

merasmikan penutupan program
Kursus diakhiri dengan sesi berkaitan penghantaran artikel lengkap yang merangkumi pemilihan jurnal, pematuhan kepada garis panduan penulis, proses penilaian manuskrip serta kaedah memberikan maklum balas terhadap komen penilai.
Penganjuran kursus ini memberi impak positif dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan serta tenaga pengajar INSTUN dalam menghasilkan proposal penyelidikan dan artikel ilmiah yang berkualiti. Program ini juga menyediakan ruang kepada peserta untuk mendapatkan bimbingan secara langsung daripada ahli akademik UPSI yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Kerjasama tersebut membuktikan bahawa hubungan MoU antara UPSI dengan INSTUN diterjemahkan melalui program pemindahan ilmu yang memberikan manfaat secara langsung kepada kedua-dua institusi. Program ini turut membuka ruang kerjasama kepada pelaksanaan klinik penulisan, penyelidikan bersama dan penerbitan kolaboratif pada masa hadapan.
Penganjuran program ini sekali gus menyerlahkan komitmen UPSI menerusi Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, FSK dalam menyumbang kepakaran akademik kepada agensi luar serta memperkasakan budaya penyelidikan dan penulisan ilmiah dalam kalangan profesional.
