oleh: Noorsyahiera Mukmin
TANJONG MALIM, 16 Jun 2026 – Exco Blok Aurellia, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan program Aurellia Craftopia yang mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini bertujuan untuk menyediakan ruang santai kepada mahasiswi sambil mengetengahkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti seni seperti pembentukan clay, diamond beads painting dan sesi blind box.
Seramai lebih daripada 100 orang mahasiswa/i telah menyertai Program Aurellia Craftopia yang berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid. Program ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada penghuni Kolej Harun Aminurrashid, malah turut menarik penyertaan mahasiswa/i daripada kolej kediaman lain. Sambutan yang menggalakkan ini jelas menunjukkan keterujaan para peserta terhadap aktiviti kreatif yang bukan sahaja dapat mengembangkan bakat dan kreativiti, malah menjadi platform untuk berkenalan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa/i.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh wakil pengarah program, Nur Fatini Adilah beliau menyatakan bahawa Aurellia Craftopia dianjurkan sebagai satu platform santai bagi memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk berehat seketika daripada kesibukan akademik di samping mengembangkan kreativiti dan mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti seni yang dijalankan.



Dalam pada itu, perasmi program, Puan Nurul Najwa turut berharap agar para peserta dapat menikmati setiap aktiviti yang disediakan dan menjadikan program ini sebagai ruang untuk melepaskan tekanan, terutamanya ketika berada dalam tempoh penghujung semester yang dipenuhi dengan tugasan seperti projek tahun akhir (FYP), tugasan kursus dan penilaian akademik yang lain.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan keterujaan dan komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Aktiviti membentuk clay dan menghasilkan karya melalui diamond beads painting memberikan peluang kepada peserta untuk mengekspresikan idea serta kreativiti masing-masing, manakala sesi blind box turut menambahkan elemen kejutan dan keseronokan sepanjang program berlangsung.
Kejayaan penganjuran Aurellia Craftopia membuktikan bahawa aktiviti kreatif bukan sahaja mampu mencungkil bakat dan kreativiti mahasiswi, malah dapat menjadi medium yang berkesan dalam membina hubungan yang erat serta mewujudkan kenangan indah sepanjang kehidupan di kampus. Program seperti ini juga dapat membantu para mahasiswi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat di samping memupuk semangat kerjasama, kreativiti dan interaksi sosial dalam suasana yang menyeronokkan.
