oleh : Nadia Umairah Nezeri

TANJONG MALIM, 16 Jun 2026 –Timbalan Exco Blok Kediaman 2, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrasid (KHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan program Beauty Canvas “ Show Your Art, Shine Your Beauty” di Dewan Harun Aminurrasid , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program berbentuk pertandingan cabaran solekan yang bermula pada jam 8.00 malam mendapat sambutan yang hangat dari kalangan mahasiswa UPSI. Pertandingan yang bertemakan “Beauty Through Creativity” menjadi platform untuk meningkatkan keyakinan diri sekaligus mewujudkan suasana positif dan persaingan secara sihat antara pelajar.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Nur Fatini Adilah binti Omar, yang juga merupakan Timbalan Exco Blok Kediaman 2 KHAR Sidang 2025/2026. Beliau menzahirkan rasa syukur atas kehadiran para peserta dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program tersebut.

“Terima kasih kepada semua peserta yang sudi hadir dan memberikan sokongan walaupun berdepan dengan jadual akademik yang padat. Saya berharap program ini dapat menjadi ruang untuk mahasiswa berehat seketika daripada kesibukan pembelajaran” katanya.

Pertandingan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Felo Blok Kediaman 2 Puan Najwa binti Mohamad yang turut memberikan kata-kata aluan sekaligus merasmikan dua program yang berlangsung bersama iaitu program Beauty Canvas dan program Aurellia Crafttopia. Beliau berharap agar program ini mampu memberikan manfaat yang berkesan kepada para peserta dan penonton yang hadir dari segi semangat bersaing secara sihat.

Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta mempamerkan kreativiti masing-masing dengan menghasilkan karya solekan yang menarik dan unik. Pelbagai idea dan gaya dipersembahkan, menjadikan pertandingan ini lebih berwarna-warni dan menghiburkan. Suasana program turut dimeriahkan dengan sokongan serta sorakan dari para penonton yang hadir.

Hasil karya para peserta dinilai berdasarkan aspek kreativiti, ketelitian dan kesesuaian dengan tema yang ditetapkan, sebelum pemenang bagi kategori berkumpulan dan individu dipilih untuk menerima hadiah bagi tempat pertama hingga ketiga. Secara keseluruhannya, program Beauty Canvas berjaya mencapai objektif penganjur dengan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menonjolkan bakat dan kreativiti dalam bidang seni solekan, di samping menggalakkan penglibatan aktif serta mengeratkan hubungan antara penghuni kolej melalui aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.