Oleh: Dr. Mohd Shahridwan Ramli, Dr. Siti Wan Aminah Wan Norudin, Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan dan Dr. Nurihan Nasir

Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris

TANJONG MALIM – Di saat kaki kita melangkah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, mata kita pasti terpukau melihat deretan bangunan kolonial yang tersergam indah. Namun, di sebalik keisihan batu bata dan kayu yang dibina sejak tahun 1922 ini, tersimpan sepotong kisah hidup yang amat dekat dengan jiwa kita: etnomatematik.

Sebelum kita menelusuri setiap sudut kampus, penting untuk kita memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan etnomatematik. Istilah ini pernah awalnya diperkenalkan oleh seorang ahli matematik terkemuka dari Brazil, Ubiratan D’Ambrosio (1985) yang memberi definisi etnomatematik sebagai satu kajian tentang bagaimana sesuatu kelompok budaya, etnik, atau komuniti memahami, mengira, mengurus ruang, dan menyelesaikan masalah praktikal dalam kehidupan mereka mengikut acuan tradisi sendiri. Dalam nada yang sama, pengkaji tempatan seperti Mat Rofa Ismail (2013) menyatakan bahawa etnomatematik ialah jambatan yang menghubungkan matematik formal dengan kebudayaan bagi membuktikan bahawa matematik bukanlah ilmu kaku yang hanya wujud di atas kertas, sebaliknya satu seni kehidupan yang dinamik.

Signifikan utama bidang ini adalah untuk membumikan kembali matematik agar ia tidak dilihat sebagai subjek yang kaku atau Euro-sentrik yang menakutkan. Melalui etnomatematik, kita sedar bahawa nenek moyang kita telah lama mengira tanpa menggunakan kalkulator moden. Sebagai contoh mudah, lihatlah bagaimana sehelai kain songket ditenun di mana si penenun perlu mengira jumlah benang emas menggunakan konsep paksi simetri dan penjelmaan geometri supaya corak pucuk rebung kelihatan seimbang. Malah, sebilah keris atau sebuah perahu tradisional dibina dengan pengiraan sudut kecondongan yang sangat teliti agar ia tidak mudah patah atau karam di lautan.

Kini, keunikan warisan ketara yang sarat dengan air mata dan keringat perjuangan anak bangsa inilah yang mengangkat UPSI sebagai Tapak Warisan Kebangsaan. Nilai kemanusiaan, sejarah, dan aplikasi sains tempatan yang luar biasa ini juga menjadi sandaran utama dalam usaha meletakkan bekas maktab perguruan lagenda, Sultan Idris Training College (SITC) ini di peta dunia melalui pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bangunan Suluh Budiman: Keimbangan Fasad, Keluhuran Adab

Bagi sesiapa yang pernah berdiri di tengah padang sambil memandang tepat ke arah Bangunan Suluh Budiman (kini Muzium Pendidikan Nasional), kita pasti akan melihat satu konsep simetri bilateral (pantulan) yang sempurna. Garis paksi menegak (f(x) = f(-x)) yang ditarik dari menara jam hingga ke pintu gerbang utama membahagikan bangunan ini kepada dua sisi yang saling mengimbangi.

Secara sainsnya, ia adalah formula pengiraan beban (load-bearing) agar bangunan sekukuh ini mampu bertahan lebih satu abad. Namun secara manusianya, simetri ini adalah pesanan daripada generasi terdahulu tentang kepentingan hidup yang seimbang iaitu tidak keterlaluan, adil, dan harmoni. Menara jam di tengah-tengah pula menjadi lambang disiplin masa, mendidik naluri para guru pelatih zaman itu untuk menghargai setiap detik kehidupan.

Melayangkan pandangan ke bahagian atas pintu, kita akan melihat kisi-kisi kayu berukir yang menggunakan Geometri Penjelmaan (Transformation Geometry). Melalui corak berulang tanpa penghujung (tessellation), para tukang terdahulu dengan rendah diri memilih untuk tidak mengukir makhluk hidup, sebaliknya mengabstraksikan keindahan alam seperti pucuk rebung. Setiap ukiran adalah bentuk zikir dan rasa syukur kepada Pencipta, manakala sela-sela lubang angin dikira dengan rasa ihsan agar udara tropika bertiup nyaman tanpa menceroboh privasi mereka yang berada di dalam bilik.

Rumah Contoh Melayu Tradisional: Matematik yang Memeluk Sifat Manusia

Berhampiran kawasan kampus lama, berdirinya Rumah Melayu Tradisional yang menjadi saksi bagaimana matematik terdahulu sangat mesra manusia. Pembinaannya tidak menggunakan pita pengukur besi, sebaliknya menggunakan ukuran sosirosentrik yang diambil terus daripada anggota badan seperti unit dalam jengkal, hasta, depa, dan kaki.

Seni bina bumbung condongnya menggunakan kecondongan sudut trigonometri  antara  hingga, dibina khusus dengan rasa tanggungjawab untuk melindungi penghuninya daripada hujan lebat tropika. Lebih menyentuh hati, ketinggian anak tangganya tidak dikira secara kaku, melainkan diukur mengikut langkah purata orang Melayu. Ia direka dengan penuh kesopanan, memastikan seorang guru atau gadis yang memakai kain samping dan baju kurung dapat melangkah naik dengan tertib, perlahan, dan penuh maruah.

Kediaman Rasmi Pendeta Za’ba: Geometri Kesederhanaan Jiwa

Jika kita menjenguk ke Kediaman Rasmi Pendeta Za’ba, kita akan melihat struktur segi empat yang sangat ringkas namun sarat fungsi. Nisbah bukaan tingkap dan pintu dikira dengan teliti agar cahaya matahari pagi dapat masuk menerangi ruang tanpa membakar suasana di dalam.

Reka bentuk ini adalah refleksi nyata kepada peribadi Za’ba dan masyarakat cendiakawan terdahulu yang memilih hidup bersederhana (modesty). Tiada ruang yang membazir. Setiap kaki persegi dilingkari rasa cukup, di mana ruang tamu yang ringkas boleh berubah fungsi menjadi bilik diskusi ilmiah yang hangat atau ruang kenduri doa selamat dalam sekelip mata.

Padang SITC: Topologi Ruang yang Menyatukan Hati

Akhir sekali, padang segi empat tepat yang luas di hadapan kampus adalah sebuah keajaiban topologi rangkaian. Ia bukan sekadar tanah lapang, tetapi bertindak sebagai pusat (nucleus) yang mendekatkan jarak fizikal antara asrama, kelas, dan dewan.

Sama seperti konsep “Laman” rumah Melayu, padang ini adalah ruang sambutan penuh mesra. Di atas satah mendatar inilah, anak-anak muda dari Kedah, Kelantan, Johor, malah seberang Nusantara yang asalnya terpisah oleh sempadan geografi, telah duduk rapat bersila. Mereka berkongsi mimpi, memadamkan perbezaan loghat, dan mengira langkah bersama untuk mencetuskan kesedaran awal kemerdekaan tanah air.

Menghidupkan Semula Jiwa Matematik

Usaha UPSI memelihara khazanah hidup ini mendapat pujian daripada badan dunia seperti UNESCO yang amat menghargai pengetahuan tempatan (indigenous knowledge). Kampus lama ini kini bukan lagi sekadar muzium, tetapi telah menjadi sebuah makmal kemanusiaan.

Bagi bakal guru yang dilatih di sini, mereka belajar untuk tidak mengajar matematik sebagai subjek yang ‘sejuk’, asing, dan menakutkan. Apabila murid-murid dibawa ke kampus ini untuk menyentuh sendiri kayu ukiran, mengira sudut bumbung, dan mendengar kisah sosial di sebaliknya, matematik berubah menjadi subjek yang hidup. Pelajar akan pulang dengan satu kesedaran yang indah: bahawa matematik sebenarnya ada di dalam nadi, pakaian, rumah, dan adab yang membentuk jati diri mereka sebagai anak bangsa yang bermaruah di pentas dunia.

Rujukan

D’Ambrosio, U. (1985). Ethnomathematics and its Place in the History and Pedagogy of Mathematics. For the Learning of Mathematics, 5(1), 44-48.

Ismail, M. R. (2013). Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu (Penerbit UM). Penerbit Universiti Malaya.

UNESCO World Heritage Centre. Operational Guidelines for the Implementation of the World Heritage Convention. UNESCO.