Oleh: En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, dan Nurleesya Afiqah Kamar Mohmad Zakaria

Tanjong Malim, 1 Julai – Unit Stargazers UPSI dengan kerjasama Kelab Rakan Astronomi (RASTRO) UPSI telah menjayakan Program Astronomi Sempena Minggu STEM SMK Proton City yang berlangsung dari 2.00 petang hingga 5.00 petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Tanjong Malim. Program ini bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang astronomi serta meningkatkan pemahaman mereka mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman.

Program dimulakan dengan aktiviti pencerapan Matahari menggunakan teleskop yang dilengkapi penapis suria khas bagi memastikan pemerhatian dilakukan secara selamat. Para pelajar berpeluang melihat imej Matahari secara langsung sambil mempelajari struktur asas Matahari, fenomena tompok Matahari serta memahami kepentingan aspek keselamatan dalam aktiviti pencerapan astronomi. Aktiviti ini turut disertakan dengan penerangan mengenai pergerakan harian Matahari dan hubungannya dengan putaran Bumi, sekali gus membantu pelajar memahami konsep asas astronomi dengan lebih jelas.

Selain pencerapan Matahari, para peserta turut didedahkan kepada demonstrasi model astronomi berkaitan penentuan waktu solat. Melalui model ini, fasilitator menerangkan bagaimana kedudukan Matahari dijadikan asas dalam menentukan masuknya waktu Zuhur, Asar, Maghrib dan Subuh berdasarkan prinsip astronomi. Demonstrasi tersebut memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pelajar tentang hubungan antara pergerakan objek cakerawala dengan kehidupan seharian, sekali gus membuktikan bahawa astronomi mempunyai aplikasi yang luas dalam pelbagai aspek kehidupan.

Menurut En. Wan Zul Adli bin Wan Mokhtar, ahli Stargazers UPSI yang berpengalaman dalam bidang cuaca angkasa, pembelajaran berasaskan pengalaman merupakan pendekatan yang berkesan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap bidang astronomi.

“Kebiasaannya pelajar hanya mempelajari topik sains angkasa melalui buku teks dan di dalam bilik darjah. Melalui program seperti ini, kami membawa pengalaman pembelajaran ke tahap yang berbeza apabila pelajar dapat menggunakan teleskop untuk melihat Matahari secara langsung dengan selamat. Pengalaman melihat sendiri objek cakerawala menjadikan konsep yang dipelajari lebih mudah difahami, lebih bermakna dan mampu mencetuskan rasa ingin tahu yang lebih mendalam terhadap bidang STEM,” katanya.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian mengenai asas astronomi, penggunaan teleskop serta perkembangan teknologi angkasa lepas. Sesi soal jawab yang interaktif bersama fasilitator daripada Stargazers UPSI dan ahli Kelab Rakan Astronomi (RASTRO) UPSI memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya secara langsung dan mendalami ilmu berkaitan fenomena cakerawala, penerokaan angkasa serta peluang kerjaya dalam bidang STEM.

Sambutan yang diberikan oleh warga sekolah amat memberangsangkan apabila para pelajar menunjukkan minat yang tinggi sepanjang program berlangsung. Pendekatan pembelajaran secara hands-on melalui pencerapan dan demonstrasi berjaya menjadikan konsep astronomi lebih mudah difahami, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan harian.

Program ini turut mencerminkan komitmen Stargazers UPSI dalam memperluaskan budaya sains kepada masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu dan penglibatan komuniti. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan sekolah, malah membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali bidang astronomi sebagai salah satu cabang STEM yang menarik serta berpotensi untuk diceburi pada masa hadapan.

Selaras dengan peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan, inisiatif seperti ini diharap menjadi jambatan yang menghubungkan universiti dengan komuniti sekolah dalam memperkukuh budaya STEM. Kerjasama berterusan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah diyakini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik sains, malah bersedia menjadi peneraju inovasi negara.