Oleh: Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nor Hafizah Md Husin, Dr. Noor Alhuda Madzlan dan Ayra Ellysha Safril
Tanjong Malim, 25 Julai 2026 – Jabatan Matematik dengan kerjasama Persatuan Matematik Mahasiswa UPSI (PMMU), Fakulti Sains dan Matematik (FSM) serta Congak Math House telah berjaya menganjurkan program Roadshow Congak Sifir dan Pecahan bersama Congak Math House yang berlangsung di Bilik Seminar Fakulti, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini melibatkan seramai 80 orang peserta, dengan 40 orang peserta menghadiri sesi pertama dan 40 orang peserta lagi menghadiri sesi kedua.
Para peserta terdiri daripada murid sekolah rendah Tahun 1 sehingga Tahun 6 yang masih belum menguasai sifir serta mempunyai kelemahan dalam asas pecahan matematik. Mereka turut diiringi oleh ibu bapa masing-masing sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program ini bertujuan membantu murid meningkatkan penguasaan sifir melalui pendekatan pembelajaran yang lebih sistematik, interaktif dan menyeronokkan.
Disamping itu, program ini turut memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa sebagai rakan strategik dalam menyokong perkembangan akademik anak-anak, khususnya dalam pembelajaran matematik di rumah.
Ketibaan Peserta dan Sesi Pendaftaran
Seawal jam 8.30 pagi, para peserta bersama ibu bapa mula hadir ke Bilik Seminar Fakulti, Blok 1, Fakulti Sains dan Matematik. Ketibaan mereka disambut mesra oleh para fasilitator serta ahli jawatankuasa pendaftaran yang bertugas. Proses pendaftaran berjalan lancar dan teratur, sekaligus mewujudkan suasana yang ceria, mesra dan penuh semangat sebelum program dimulakan.
Slot 1: Sesi Kenali Karakter Anak
Slot pertama telah disampaikan oleh En. Sulaiman Syah Ab. Rahman, atau lebih dikenali sebagai Che Man. Dalam sesi ini, beliau berkongsi mengenai kepentingan ibu bapa memahami karakter, potensi dan gaya pembelajaran anak-anak sebagai asas dalam menyokong perkembangan akademik mereka.

Bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, Che Man turut mengendalikan beberapa aktiviti interaktif yang melibatkan penyertaan ibu bapa dan anak-anak. Melalui aktiviti tersebut, ibu bapa didedahkan kepada pelbagai gaya pembelajaran seperti visual, auditori, kinestetik, digital dan fleksibel. Pendedahan ini diharap dapat membantu ibu bapa mengenal pasti pendekatan pembelajaran yang paling sesuai untuk anak-anak sekaligus meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka, khususnya dalam mata pelajaran Matematik.
Slot 2: Kuasai Sifir 0 hingga Sifir 99
Slot seterusnya diteruskan oleh Che Man dengan perkongsian mengenai teknik menguasai dan menghafal sifir daripada sifir 0 hingga sifir 99 menggunakan kaedah yang lebih mudah, menarik dan efektif untuk difahami oleh murid-murid.
Beliau menjelaskan bahawa penguasaan sifir yang kukuh merupakan asas penting dalam meningkatkan kemahiran matematik, khususnya dalam pengiraan congak, selain membantu murid menyelesaikan soalan matematik dengan lebih pantas dan tepat.
Sepanjang sesi berlangsung, Che Man turut mengendalikan beberapa aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada para peserta mempraktikkan teknik yang telah dipelajari.

Penglibatan aktif daripada murid dan ibu bapa berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria, menyeronokkan dan kondusif.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja meningkatkan keyakinan peserta untuk menguasai sifir, malah memberi motivasi kepada mereka untuk mengaplikasikan teknik tersebut dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
Slot 3: Cara Kira Cepat Pecahan
Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Che Man mengenai teknik mengira pecahan dengan cepat dan mudah. Dalam slot ini, beliau memperkenalkan beberapa kaedah mudah yang dapat membantu peserta untuk menyelesaikan soalan pecahan dengan lebih pantas dan tepat. Penerangan yang disampaikan disertakan contoh-contoh yang mudah difahami agar peserta dapat menguasai konsep serta melakukan pengiraan secara congak tanpa berasa keliru atau sukar.
Selain itu, Che Man turut berkongsi pelbagai teknik dan tips yang dapat membantu peserta memahami operasi pecahan seperti penambahan, penolakan, pendaraban dan pembahagian pecahan dengan lebih berkesan.
Bagi mengukuhkan pemahaman, beberapa latihan dan aktiviti interaktif turut dijalankan agar peserta dapat mengaplikasikan kaedah yang dipelajari secara langsung. Penglibatan aktif daripada para peserta serta kerjasama yang baik daripada ibu bapa sepanjang sesi berlangsung telah mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan kondusif.

Sesi ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan peserta dalam menyelesaikan soalan pecahan, malah membantu mereka menguasai kemahiran pengiraan dengan lebih pantas, tepat dan yakin untuk diaplikasikan dalam pembelajaran harian.
Program Roadshow Congak Sifir dan Pecahan bersama Congak Math House ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada para peserta dalam meningkatkan penguasaan sifir dan kemahiran asas pecahan sejak di peringkat sekolah rendah.


Penganjuran program seumpama ini turut membuktikan komitmen Jabatan Matematik, Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Fakulti Sains dan Matematik (FSM) serta Congak Math House dalam memperkasakan pendidikan Matematik melalui pendekatan pembelajaran yang inovatif dan berkesan. Diharapkan kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai murid yang yakin, berkemahiran dan cemerlang dalam Matematik.

