Oleh Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman

SINTOK, 17 Julai 2026: Pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee, mengesahkan statusnya sebagai antara atlet terpantas negara selepas menjuarai acara 100 meter lelaki terbuka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kedah Ke-68 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Dalam saingan akhir yang berlangsung sengit, Danish melakukan pelepasan kemas dari blok permulaan sebelum mempamerkan pecutan bertenaga untuk melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan 10.36 saat.

Catatan tersebut merupakan masa terbaiknya pada musim ini, sekali gus memperlihatkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan menjelang beberapa kejohanan utama yang bakal disertainya.

Danish menewaskan Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin daripada pasukan Malaysia Universiti yang meraih pingat perak dengan catatan 10.49 saat.

Danish Irfan Tamrin daripada Malaysia Athletics pula melengkapkan kedudukan podium dengan catatan masa yang sama, iaitu 10.49 saat.

Kejayaan Danish turut diserikan dengan persembahan positif seorang lagi wakil UPSI, Muhammad Hasrul Najmi Badrul, yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam menerusi catatan 10.80 saat.

Kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat penting buat Danish menjelang penyertaannya dalam World Athletics U20 Championships Oregon 26 yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 9 Ogos 2026 di Hayward Field, University of Oregon, Amerika Syarikat.

Penyertaan di pentas dunia itu bakal memberi peluang kepada Danish untuk menguji kemampuannya menentang pelari muda terbaik dari seluruh dunia, selain membawa cabaran Malaysia dalam acara pecut 100 meter lelaki.

Kemenangan tersebut turut mengukuhkan kedudukan Danish sebagai antara pelari pecut lelaki paling menyerlah di negara ini. Prestasi itu juga menjadi petunjuk positif terhadap tahap kecergasan dan persiapannya untuk menghadapi kejohanan yang lebih kompetitif.

Catatan 10.36 saat bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kepada Danish, malah meningkatkan keyakinannya untuk terus memperkemas teknik pelepasan di blok permulaan, fasa pecutan dan keupayaan mengekalkan kelajuan menjelang penampilannya di Oregon.