oleh: Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Rabbiatul Umaira Ramli, Florencea Roslin
CYBERJAYA – Usaha memperkasa pendidikan inklusif terus mendapat suntikan baharu menerusi penganjuran Program EDUIMPACT: STEM Math Educator Kit for Math Teachers yang berlangsung di Malaysia High Functioning Autism Association (MAHFAA), Cyberjaya, baru-baru ini.
Program yang diadakan pada 6 Ogos lalu itu bertujuan memberi pendedahan dan latihan kemahiran kepada pendidik MAHFAA dalam mengaplikasikan kit pembelajaran matematik interaktif. Inisiatif ini direka khas bagi menyokong kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih berkesan untuk murid autisme berkefungsian tinggi (HFA).


Inisiatif kolaboratif ini menterjemahkan kerjasama strategik antara Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama MAHFAA dibawah Projek Dana Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2025. Sepanjang program, sekumpulan pelajar UPSI bertindak sebagai fasilitator bagi membimbing serta membantu para guru menguasai penggunaan kit berkenaan secara optimum.
Menurut pihak penganjur, pendekatan ini memberi fokus kepada kaedah pembelajaran berasaskan hands-on. Menerusi penggunaan pelbagai kit khas seperti Kit Algebase, Kit Mabox, Kit Transiso, Kit GeoMeasure, Kit Money Matters, Kit Lokus Pro 360’, Kit Matrikulator, Kit GeBoard, Kit Legar, dan Kit Line-Angle Mastery, konsep matematik yang bersifat abstrak dapat difahami dengan lebih jelas, visual, dan konkrit oleh murid.

Lebih menarik, integrasi elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aplikasi teknologi digital seperti Augmented Reality (AR) turut diserapkan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif dan kondusif.
Impak positif jelas kelihatan sepanjang sesi berlangsung apabila murid-murid HFA menunjukkan minat yang mendalam, lebih teruja, serta berkeyakinan tinggi untuk menyelesaikan tugasan matematik yang diberikan.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa pendekatan pedagogi yang kreatif, berasaskan teknologi, dan inklusif mampu menyemai minat serta meningkatkan motivasi murid autisme terhadap bidang STEM, sekali gus membolehkan potensi mereka digali secara menyeluruh.
