UPSI, 22 April 2016 – Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) kini mengorak langkah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Luncai Emas Sdn. Bhd. bagi kerjasama dalam bidang latihan industri.
Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd, Dato’ Mohd Nasir Mohamed, merupakan penyanyi, penggubah lagu, dan pelakon terkenal di Malaysia berkata, pihaknya ingin menjadikan MoU ini sebagai asas untuk menyalurkan pengalaman kepada para pelajar.
“Objektif kami di Luncai Emas ini, ingin menjadikan kerjasama ini sebagai platform untuk menyalurkan pelbagai pengalaman, penciptaan lagu dan lirik, kemahiran kreatif dan pengurusan seni kami selama ini.” “Melalui kerjasama ini, saya berharap dapat memberi impak dan pengalaman kepada para pelajar jurusan seni khususnya dan juga kepada warga UPSI keseluruhannya,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang diadakan di BC 2-7, Bangunan Canselori.
Melalui MoU ini, FMSP dan Luncai Emas akan mengadakan kerjasama dalam bidang latihan industri dan praktikal, penghasilan karya seni secara kolaborasi dan pertukaran kepakaran untuk tempoh 5 tahun.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk melaksanakan program-program yang melibatkan penghasilan karya seni pencarian bakat baharu dalam bidang seni muzik seperti komposisi penulisan lirik, dan pengubahan lagu. Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk terlibat dalam pengurusan pentas dan mengendalikan konsert berskala besar.
MoU ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah dan Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd, Dato’ Mohd Nasir Mohamed. Hadir sama, Pendaftar, En. Mohd Faizi Othman, Dekan FMSP, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon dan wakil dari Luncai Emas Sdn. Bhd.
Artikel ini telah diterbitkan pada 22 April 2016.