UPSI, 21 April 2016 – Kelab Pembangunan Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat dan Pusat Islam UPSI mengadakan program The Giving Project bertempat di Hospital Slim River bagi menceriakan para pesakit hospital tersebut.
Program yang disertai oleh 19 sukarelawan itu diadakan bertujuan untuk mendekatkan UPSI dengan komuniti setempat melalui pemberian kit ”The Giving Project” hasil sumbangan daripada insan-insan yang prihatin.
Selain beramah mesra, bertanyakan khabar dan memberikan sokongan moral, pasukan sukarelawan juga turut memberikan penerangan berkaitan panduan solat ketika sakit kepada pesakit muslim agar mereka dapat menunaikan kewajipan walaupun sedang sakit .
Menurut Pengerusi Kelab JPPHB, En. Fait Hanafi, sepanjang program mereka sempat melawat Wad Orthopedik, Wad kanak-kanak, Wad Bersalin, Wad Psikiatri, Wad Perempuan, Wad Lelaki dan Wad Pembedahan untuk menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban para pesakit.
Artikel ini telah diterbitkan pada 22 April 2016.