UPSI, 26 September – Kematangan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semakin meningkat dari satu sesi ke satu sesi yang seterusnya.
Setiausaha Politik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Abdul Halim Jusoh, berkata, Universiti Pendidikan Sultan Idris tidak ketandusan pelajar yang mampu menggalas tanggungjawab dalam memperjuangkan kebajikan para pelajar dalam segenap segi dan aspek.
“Walaupun UPSI bukan universiti berteraskan penyelidikan tetapi berjaya melahirkan pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) iaitu Muhammad Syahmi Aiman Sulaiman sekaligus membuktikan walau dimanapun siswazah berada mereka layak menerajui kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diperingkat tertinggi.
“Ini merupakan satu pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bahawasanya kepimpinan daripada UPSI adalah layak meneraju kepimpinan MPP diperingkat nasional. UPSI berjaya mencipta satu penanda aras dalam kepimpinan pelajar. Jagalah imej kepimpinan MPP UPSI dan perbaiki dari masa ke semasa sehingga menjadi yang terbaik di peringkat nasional,” katanya pada Majlis Perlantikan Watikah Majlis Perwakilan Pelajar Dan Penghargaan Petugas Pemilihan Sidang 2017/ 2018 yang diadakan di Dewan SITC, UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil.
Tambah beliau, MMP bukan merupakan badan yang menjaga kebajikan mahasiswa kerana kebajikan mahasiswa adalah sentiasa mengalami perubahan.
“Kalau kita fokus kepada kebajikan mahasiswa lama kelamaan kita akan mencari kepincangan, kelemahan dan kesalahan dalam universiti dan kementerian kita sendiri. Kepimpinan MPP boleh berbakti dalam banyak segi dan aspek antaranya dengan memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, membangunkan kemahiran insaniah serta memupuk semangat sosial yang harmoni di kalangan mahasiswa, mengangkat martabat kokurikulum dan jangan fokus kepada perkara yang bukan isu,”.
“MPP juga tidak perlu mencari isu untuk menjadi popular kerana banyak cara untuk menjadi popular iaitu dengan cara mencurahkan bakti serta mencari kaedah untuk memajukan mahasiswa di UPSI dan di universiti yang lain,”ujar beliau.
Menurut beliau, agenda pembaharuan yang perlu dilakukan pada fasa ini ialah kolaborasi antara MPP dan kepimpinan kolej kerana ada lebih 300 kepimpinan diperingkat kolej dan sekurang-kurangnya 25 hingga 30 ahli dalam MPP.
“Kalau tidak berlaku kolaborasi yang baik antara MPP dan kepimpinan kolej , maka amat sukar untuk MPP menggerakkan agenda universiti iaitu untuk memastikan maklumat dapat disampaikan dapat difahami dan diperjelaskan dengan baik diperingkat kolej dan fakulti. Dengan jalinan yang baik ini, suasana kampus akan menjadi lebih harmoni.” katanya.
Pada pemilihan MPP pada 14 September lalu, kumpulan ‘We Love UPSI’ yang mewakili Pro-A menang 27 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan, manakala calon bebas memenangi dua kerusi.