Putrajaya, 19 Januari – Universiti Pendidikan Sultan Idris menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan International Educational Scientific and Cultural Organization (IESCO) untuk tempoh tiga tahun bertujuan membina jaringan hubungan antarabangsa bagi meneroka peluang mendapatkan pelajar-pelajar pengajian siswazah di peringkat sarjana dan kedoktoran dari Timur Tengah.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff berkata, MoU itu merupakan rentetan kunjungan delegasi daripada Badan-badan NGO Arab Saudi Timur Tengah (IESCO) bersama Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Y. Brs. Dr. Ahmad Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby, pada 22 Mac 2017 yang bertujuan mempromosikan UPSI di sana.
Turut menandatangani memorandum yang diadakan sempena 1st International Concefrence on Enhancing Educational Opportunities yang berlangsung pada 19 hingga 20 Januari 2018 di Putrajaya Marriot Hotel itu ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Islam Gaza.
Persidangan julung kali diadakan yang dihadiri 250 peserta dari 35 negara, itu diadakan bagi membincangkan masa depan dalam mengekalkan pembangunan pendidikan di zon konflik.
UPSI diwakili oleh Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff manakala IESCO diwakili oleh Pengurus Besar, Dr. Mahmoud Shakfa serta disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Pendaftar UPSI, Dr. Zainab Othman, dan Pengurusan Eksekutif IESCO, Mr. Abdalrahim Shehab.