Kuala Lumpur, 1 Julai 2022 – Berbekal sajak berjudul “Anak Muda” karya WS Rendra, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Elvienie Petrus, muncul Johan Sayembara Deklamasi Sajak IPT 2022 yang berlangsung  di Auditorium Utama, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Sayembara anjuran  Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi Universiti Malaya membawa tuah kepada  Elvienie apabila berjaya mempersembahkan deklamasi dengan penuh penghayatan dan penjiwaan sekali gus memukau penonton untuk menghayati persembahannya yang  berdurasi sekitar 7 minit 45 saat.

Elvienie sedang menyampaikan sajak dengan penuh penghayatan

Elvienie membawa pulang wang tunai berjumlah RM400, plak, hamper dan sijil kemenangan manakala Imran dan Shazlan membawa pulang plak dan sijil kemenangan.

Turut mewakili UPSI dalam pertandingan tersebut adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu dengan kepujian, Imran Mursyid William yang mendapat tempat keempat, manakala Muhammad Shazlan Shaffie pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) berjaya mendapat tempat keenam daripada keseluruhan 18 peserta lain yang turut bertanding.

Elvienie berkata dia  sejujurnya tidak menyangka  akan menjuarai sayembara itu kerana para peserta lain juga hebat-hebat belaka.

“ Saya bersyukur atas kemenangan yang diperoleh dan bangga kerana dapat memacu kecemerlangan UPSI dalam pertandingan ini”, katanya.

Menurut  Elvienie Pusat Kebudayaan sentiasa memberi ruang dan peluang untuk beliau serta para pelajar UPSI untuk menggilap bakat seterusnya memastikan UPSI sentiasa cemerlang dalam segala bidang yang dipertandingkan.

Tempat kedua disandang oleh  Sasha Shafiqah Abdul Aziz dari Universiti Malaya, manakala tempat ketiga, Muhammad Hanif Naim dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Naib  Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan rasa bangga atas pencapaian pelajar UPSI yang memperlihatkan bakat yang tinggi sehingga berjaya menjadi juara antara institusi pengajian tinggi.

“UPSI sentiasa menggalakkan pelajar berkreatif dan budaya kreativiti diterapkan seawal semester satu supaya mereka tampil akhirnya sebagai graduan yang versatil untuk menceburi bidan kerjaya masing-masing,” katanya.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan , beliau amat bersyukur apabila kejayaan demi kejayaan kembali menyusul sebaik sahaja kebenaran untuk aktiviti pelajar dibuka pasca Covid-19. Dua tahun sudah berlalu, kami amat mengalu-alukan penyertaan pelajar untuk segala pertandingan yang dianjurkan dalam melahirkan graduan Anak Kandung Suluh Budiman yang cekap dalam kemahiran insaniah selain akademik yang cemerlang.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my