oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
IPOH – Perkembangan teknologi urusan perniagaan jual beli atas talian semakin berkembang dengan pesat ketika negara dilanda wabak Covid-19 dilihat turut membawa kesan negatif melibatkan jenayah siber yang semakin berleluasa.
Prihatin dengan masalah melibatkan jenayah komersial semakin meruncing, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan buku Kesedaran Kes Jenayah Komersial PDRM Perak.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathras Wahid berkata, berdasarkan statistik PDRM telah merekodkan sejumlah 71, 833 kes jenayah komersial disiasat membabitkan jumlah kerugian lebih RM5.2 bilion sepanjang 2020 sehingga bulan Mei lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 48,850 iaitu 68 peratus jenayah komersial dicatatkan adalah jenayah dalam talian,
“Hal ini dipercayai kerana penggunaan internet yang lebih meluas dan secara langsung menyebabkan penipuan atau kejadian ‘scam’ secara dalam talian meningkat,” jelasnya ketika majlis pelancaran di Mes Pegawai Kanan, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, menerusi statistik yang dicatatkan sebanyak RM68, 089, 924.60 kerugian telah direkodkan pada tahun 2021 berbanding RM52, 657, 851.50 kerugian tempoh sama tahun sebelumnya.
“Kerugian yang dialami bukan saja memberi impak negatif ke atas ekonomi negara malah menjadi pencetus kepada masalah sosial secara umumnya,” tambahnya lagi.
Sementara itu Faridalathras turut menyerahkan Sijil Naik Taraf Bahagian Keselamatan UPSI ke Polis Bantuan kepada Md Amin sekaligus memberi penarafan kepada 150 kakitangan keselamatan yang bertugas di universiti terulung dalam bidang pendidikan tersebut.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata buku yang akan terbit sekitar Oktober itu bakal menyuntik kesedaran masyarakat akan kepentingan memahami modus operandi jenayah komersial yang menjerat masyarakat.
“Pelbagai permasalahan dan isu melibatkan topik jenayah dalam talian dibincangkan dalam buku ini seperti E-Dagang, Pinjaman Tidak Wujud, Macau Scam, Pelaburan Tidak Wujud, Love Scam, Parcel Scam, dan Tipudaya Penyamaran menerusi talian telefon serta aplikasi Whatsapp.
“Selain menjadi wadah penerbitan berinformasi buat negeri Perak, buku ini juga dapat dijadikan panduan kepada penguatkuasa menjalankan tugas dalam isu berkaitan,” jelasnya.
Baca lagi di: Suara Merdeka
Nota Pengarang: Tahniah PDRM dan UPSI atas kerjasama strategik serta usaha berterusan demi membendung kegiatan penipuan komersial menerusi dalam talian. Semakin hari semakin banyak berita kita baca di dada akhbar, diharapkan dengan kemunculan buku ini dapatlah kita buka mata tentang isu ini.