oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Fisol Ahmad
Tanjung Malim – Seramai 700 sukarelawan dari kalangan mahasiswa universiti-universiti awam dan swasta menjadi tunjang penganjuran Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 12 hingga 21 Ogos.
Ketua Sekretariat SUKIPT 2022, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata penglibatan sukarelawan mahasiswa amat penting sebagai mewakili urusetia penganjuran sukan yang melibatkan kalangan mahasiswa sendiri.
“Baru-baru ini di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani, Thailand misalnya, urusetia kejohanan merupakan sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan warga universiti tempatan tersebut, menjadi inspirasi kepada penganjuran SUKIPT pada edisi kali ini untuk memperkasa semangat sukarelawan antara mahasiswa,” jelasnya kepada lebih 700 sukarelawan mahasiswa di Dewan Tuanku Canselor UPSI di sini, semalam.
Menurutnya lagi para sukarelawan ini akan membantu 17 jawatankuasa umum dan 11 jawatankuasa teknikal termasuklah 21 acara permainan dipertandingkan bermula esok.
Terdahulu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata semasa sesi pertemuan bersama sukarelawan SUKIPT pada sebelah pagi pula mengucapkan terima kasih atas penglibatan mereka yang bertungkus lumus menjayakan penganjuran SUKIPT selepas penganjuran terakhir 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Kemunculan SUKIPT kali ini amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila UPSI pada tahun ini bakal menyambut 100 tahun penubuhan institusi pendidikan terulung di rantau ini,” jelasnya.
Wartawan Mahasiswa teraju laporan media SUKIPT
Penganjuran SUKIPT pada kali ini juga menyaksikan kemunculan wadah penerbitannya tersendiri iaitu Buletin SUKIPT yang diterajui 20 wartawan dari kalangan mahasiswa sendiri melaporkan berita temasya sukan peringkat pengajian tinggi itu.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Media, Buletin dan Dokumentasi SUKIPT 2022, Ahmad Faisal Mohd Fiah berkata sebanyak 9 siri laporan buletin bercetak akan diterbitkan sarat dengan perkembangan terkini perlawanan.
“Selain bersedia dengan laporan dan rangkuman berita setiap perlawanan semasa kejohanan berlangsung, para wartawan dari kalangan mahasiswa ini turut dibimbing dengan etika kewartawanan serta mendapat pendedahan sebenar dalam bidang tersebut sekaligus memberi pengalaman berharga kepada mereka,” jelasnya lanjut.
Artikel turut diterbitkan di media: Suara Merdeka
Nota Pengarang: Debaran kini tiba di kemuncaknya! Siapa yang menang? Siapa yang tersungkur? Jom sama-sama kita sokong team SUKIPT 2022! #SUKIPT2022