Oleh: NURUL IZZAH BESERI & MOHD IQBAL HARRAZ
foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid
TANJONG MALIM – Universiti putra Malaysia (UPM) tampil dalam kelas tersendiri apabila
menguasai acara ragbi 7’s pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) hari ini. Seperti dijangka, UPM mendominasi saingan bagi kategori lelaki dan wanita, sekali gus meraih pingat dua emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.
Bagi kategori lelaki, skuad ragbi UPM yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan mewakili
negara dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, telah membuktikan kehebatan mereka
apabila berjaya menumpaskan pasukan lawan, Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) 42-0.
Jurulatih squad UPM bagi kategori lelaki, Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah telah
meluahkan rasa gembira dan bangga terhadap prestasi para pemainnya dan mereka berhak
diberi pujian.
“Segala pujian adalah untuk pemain kerana mereka telah memberikan sepenuh komitmen dan
saya amat berbangga kerana mereka berjaya menjadikan tekanan mereka sebagai pemain
kebangsaan kepada sesuatu dorongan untuk mereka mencapai matlamat” kata Nazeer.
Manakala bagi kategori wanita, UPM berjaya menunjukkan taring mereka apabila berjaya menewaskan pasukan lawan, Politeknik 13-10 meskipun ketinggalan 10-0 pada separuh masa
pertama dalam persaingan yang sengit itu. Jurulatih mereka, Faat Hor Rozi berkata kemenangan pasukan itu bukanlah pengakhiran dan masih banyak lagi yang boleh diperbaiki sebagai persediaan awal menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang.
Pingat gangsa kategori lelaki bagi acara ini pula dimenangi oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) apabila mengalahkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) 22-0. Bagi kategori wanita pula, gangsa telah dirangkul oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila mereka berjaya menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 17-0. Dalam pada itu, disebalik kejayaan skuad wanita UPM, detik duka sentiasa menyelubungi salah seorang tonggak pasukan iaitu Afiqah Afinah Mohd Izzan. Menurutnya, setiap kali dia turun ke padang perlawanan, dia akan sentiasa terkenangkan bapanya yang meninggal dunia ketika dia beraksi dalam satu kejohanan suatu ketika dulu.
“Namun, saya jadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus menampilkan aksi terbaik
dalam setiap kejohanan yang saya sertai. Arwah bapa saya seniasa memberi dorongan kepada
saya supaya terus berjaya dalam sukan yang saya minati,” jelas Afiqah.
Nota Pengarang: Hebat team media Sukarelawan SUKIPT 2022 standby setiap perlawanan walaupun berpanas terik demi memberi ulasan yang best