oleh: Norhayati Aziz
Pekanbaru, Riau – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah melaksanakan Program Empire Journey 2.0 “Explore Culture and Nature” yang berlangsung pada 3 hingga 7 Ogos 2022. Program ini disertai oleh 14 orang pelajar dari Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus serta barisan Felo Penasihat UKLK.
Peserta telah berpeluang berkunjung ke Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan kunjungan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang kepulauan Riau dan isu-isu kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Riau. Konsul Malaysia di Pekanbaru , Puan Wan Nurshima Wan Jusoh, dalam ucapannya berkata “Kami amat mengalu-alukan sebarang kolaborasi atau kerjasama antara Universiti-universiti dari Malaysia bersama Universiti-universiti yang ada di Riau, seperti pertukaran pelajar, pertukaran tenaga pengajar, perbincangan aktiviti yang boleh memberi bermanfaat kepada kedua-dua buah negara.”
Menurut Pengetua UKLK, Prof Madya. Ts. Dr Che Ghani Che Kob, program pengantarabangsaan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman berada bersama masyarakat setempat, berinteraksi dengan mahasiswa universiti luar negara serta memahami gaya hidup dan kebudayaan penduduk Indonesia.
Delegasi UKLK juga berkesempatan berkunjung ke Universitas Riau (UNRI), mengadakan diskusi dan kolaborasi dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kerjasama antara UPSI dan UNRI. Wakil Dekan 3 FKIP, Dr. Hermandra dalam ucapannya berkata hasil diskusi forum tersebut boleh membuka peluang dan ruang untuk kedua Universiti berkolaborasi pada masa hadapan, beliau juga berharap hasil diskusi ini membuka peluang untuk kolaborasi dalam bidang pengajaran dan penyelidikan bersama. Katanya lagi, Unit Kesenian dan Unit Teknologi UNRI juga berpeluang untuk melakukan aktiviti secara bersama dengan UKLK seperti yang telah dibincangkan.
UKLK juga telah mengadakan aktiviti memasak biskut raya bersama masyarakat di Pulau Duit, Desa Kemang Indah dan aktiviti selama 4 jam bersama penduduk setempat telah mendapat sambutan yang mengalakkan dan seramai 50 orang penduduk telah menghadiri dan menjayakan aktiviti ini.
Pada 5 Ogos 2022, UKLK telah mengunjungi Pondok Pesantren Muhammadiyah Boarding School Ahmad Dahlan Riau dan kunjungan ini merupakan kunjungan perkongsian yang melibatkan aktivti minda bersama-sama 200 orang pelajar pondok Pesanteren tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk merangsang minda pelajar menjadi lebih kreatif dan inovatif disamping mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan pelajar-pelajar tersebut. Aktiviti selama 5 jam itu diselitkan dengan pelbagai modul yang menarik dan peserta begitu teruja dengan permainan yang telah dirancang khusus untuk pelajar-pelajar tahfiz.
Pengetua Pondok Pesantren, Dr. KH. Lukman Jamaluddin menyatakan bahawa mereka berasa sungguh bertuah kerana dikunjungi oleh Universiti Pendidikan yang terkenal dari Malaysia dan berharap kunjungan ini mampu meningkatkan prestasi pelajar Pondok Pesantren tersebut.