oleh: Afifah Adriana Aznan (UCTC)
SG. DARA, BEHRANG, PERAK
Seramai 98 orang pelajar dari Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalani Kem Latihan Tahunan PALAPES UPSI 2022. Program ini berlangsung selama 15 hari yang berakhir pada 15 Ogos 2022 bertempat di Stesen Edu-Forest UPSI, Hutan Simpan Behrang, Sg. Dara, Perak.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh PALAPES UPSI, antaranya adalah aktiviti serdap kenderaan, ronda tempur, tinjauan serangan, perintah serangan dan serang khemah musuh. Aktiviti yang dijalankan ini adalah mengikut kepada silibus ketenteraan khususnya di dalam aspek taktikal, persenjataan, kepimpinan, rejimental dan yang paling utamanya adalah taat setia yang ditumpahkan kepada agama, bangsa dan negara sebelum mereka menerima pentauliahan.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, penubuhan Stesen Edu-Forest UPSI di sisi Banjaran Titiwangsa sebagai makmal hidup (living lab) dapat juga dijadikan lokasi strategik kepada PALAPES UPSI untuk melaksanakan kem latihan ketenteraan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Usaha ini juga selaras dengan hasrat kerajaan melestarikan hutan simpan untuk manfaat secara bersama khusus buat komuniti atas prinsip Keluarga Malaysia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, aktiviti yang dijalankan mampu mendidik mahasiswa menjadi seorang yang lebih berani, berjiwa kental kerana latihan dilakukan menguji keupayaan dari segi mental mahupun fizikal.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan rasa bangga kerana UPSI dapat melahirkan PALAPES yang merupakan badan beruniform yang menguji ketahanan fizikal dan juga mental dalam menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.
Pihak PALAPES UPSI amat berterima kasih kepada pihak Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) kerana memberi ruang dan peluang kepada PALAPES menggunakan Stesen Edu-Forest UPSI untuk menjalani latihan ketenteraan di sana.
Nota Pengarang: UPSI @ Edu-Forest bakal menjadi pusat pembangunan pendidikan perhutanan yang terulung suatu hari nanti. Semoga UCTC mampu menjadi katalis kepada pembangunan ini. Kita doakan!