oleh: Muhamad Hafiz Abd Manap (Kolej Ungku Omar UPSI)
23 November 2022, Rabu, Tanjung Rambutan, Perak – Program Heart In You By Jiwa Belia yang telah diadakan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak. Program sukarelawan ini berkonsepkan kerja kebajikan untuk menyantuni golongan pesakit mental melalui penglibatan dengan sukarelawan daripada UPSI.
Program Anjuran Majlis Tertinggi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar yang melibatkan kerjasama daripada Pertubuhan Prihatin OKU, Malaysia, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Rakan Siswa Yadim
UPSI, Sekretariat Rakan Muda dan Kursus Kesukarelawan E telah membina hubungan dengan pihak luar untuk menghapuskan stigma atau pandangan serong masyarakat terhadap pesakit mental yang memerlukan sokongan untuk pulih.
Program ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Dr. Yusni binti Yusuff, Pengarah Program Hospital Bahagia Ulu Kinta dan turut dihadiri oleh Encik Muhamad Safwan bin Sarifbudin selaku felo pengiring Kolej Ungku Omar.
Seramai 40 ahli jawatankuasa serta pasukan sukarelawan turut serta dalam program tersebut.
Melalui persetujuan pihak hospital dengan pihak penganjur mengikut kesesuaian pesakit mental, aktiviti yang dijalankan sepanjang 6.30 pagi sehingga 7.00 petang itu ialah sesi ceramah atau hosting daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta mengenai penyempurnaan simbolik program kepada ahli jawatankuasa program serta pasukan sukarelawan yang terlibat, Respect and Harrowing Tour iaitu lawatan ke wad psikiatri, Slot The Art Of The Geezy Mind iaitu slot bersama dengan pesakit mental Hospital Bahagia Ulu Kinta serta aktiviti Kotak Beracun yang memerlukan pesakit mental di hospital tersebut menjawab
soalan-soalan yang telah disediakan.
Mengulas lanjut, program ini dapat membentuk individu yang lebih positif dalam menilai orang lain setelah menyertai aktiviti yang lebih membuka mata mengenai kehidupan seharian.
Menurut Pengetua Kolej Ungku Omar, “besar harapan agar program ini dapat diteruskan lagi jika diberi kesempatan dan juga ruang pada masa akan datang. Saya yakin program yang dilaksanakan ini mampu memberi impak yang positif kepada para individu yang terlibat.
Semoga segala ilmu dan juga pengalaman dari persiapan menganjurkan program sehinggalah program ini terlaksana dapat dijadikan pengalaman kepada diri setiap pelajar.
Beliau juga berharap agar para pelajar dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha meningkatkan penjagaan kesihatan mental khususnya golongan belia yang menjadi modal insan berkualiti untuk masa depan negara”. Katanya lanjut.
Semoga dengan adanya penganjuran program sebegini dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab dan cakna dengan isu-isu semasa yang melanda masyarakat kini.
Semoga program sebegini juga dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan agar hubungan antara pihak pentadbiran UPSI khususnya Kolej Ungku Omar dengan pihak Hospital Bahagia Ulu Kinta dapat dieratkan lagi serta dapat meningkatkan imej Universiti Pendidikan Sultan Idris di dalam aspek kesukarelawan komuniti.
Program sebegini harusnya diteruskan pada masa akan datang supaya dapat merangsang minda dan pemikiran mahasiswa yang celik minda dan mata hati sekaligus dapat menjadikan pelajar lebih proaktif dalam merebut peluang sebegini pada masa hadapan.