oleh: Shahaniza Shamsuddin & Nur Asyikin Ismail (NCDRC)

Tanjung Malim – UPSI melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) telah mengadakan persidangan antarabangsa yang dikenali sebagai 2nd International Early Childhood Care andEducation (IECCEC) 2022.

 Program selama dua hari yang bertempat di Pusat Latihan Hospitaliti, Scholar Suites, UPSI ini merupakan salah satu program meraikan sambutan 100 tahun penubuhan SITC-MPSI-IPSI-UPSI.

Persidangan yang dilaksanakan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian) 15 dan 16 Disember lalu bertujuan memberi penekanan tentang pentingnya asuhan, didikan dan perkembangan kanak-kanak termasuk kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Selain itu, tema “Paving the Future: Assuring Quality, Leading Innovations & Promoting Creativity” telah dipilih untuk menunjukkan keprihatinan UPSI terhadap amalan terbaik dalam bidang asuhan dan didikan kanak-kanak.

Seramai 115 orang telah menyertai persidangan ini dan 53 orang terlibat sebagai pembentang kertas kerja. Penyertaan bukan sahaja mendapat sambutan daripada agensi dan institusi pendidikan di Malaysia malah dari pelbagai negara seperti Singapura, Indonesia, Afrika, dan lain-lain lagi.

Pembentang dan artikel terbaik juga diberikan kepada Dr. Nurul Khairani Ismail (Universiti Pendidikan sultan idris), Dr. Juppri Bacotang (Universiti Malaysia Sabah), Cherry Justine Chie (National Institute of Education Singapore) dan Prof. Madya Dr. Gurdip Kaur Saminder Singh (Unitar International University).Pakar dari dalam dan luar negara iaitu Prof. Branislav Pupala (Trnava University, Slovakia), Prof. Dr. Loh Sau Cheong ( Universiti Malaya), Dr. Primatia Yogi Wulandari (Airlangga Universiti Surabaya Indonesia) dan Dr. Zahirah Filzah (Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Sungai Buloh turut dijemput bagi berkongsi pengetahuan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Perbincangan Meja Bulat Antarabangsa turut diadakan sempena persidangan ini dengan menghimpunkan pakar dan pihak berkepentingan bagi membincangkan pendidikan inklusif dan kepelbagaian dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas.

Menurut Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof. Madya Dr. Azmi Mohamed, penglibatan pakar dari pelbagai negara dalam persidangan ini dilihat sebagai satu pencapaian yang baik terutama dalam pemindahan ilmu, rangkaian dan kerjasama masa hadapan demi kelestarian serta kesejahteraan kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Tambah beliau, kanak-kanak merupakan kekuatan penting kepada negara yang akan memimpin pada masa hadapan dan sebagai masyarakat ianya menjadi tanggungjawab semua pihak samada kerajaan, swasta mahupun NGO dalam melahirkan pelopor masa depan yang mempunyai kesihatan dan perkembangan yang baik, berkemahiran dan seimbang dalam pembangunan akademik dan sahsiah sejak awal usia.

“Saya percaya bahawa, persidangan antarabangsa ini adalah usaha cemerlang UPSI dalam menyediakan platform penting untuk perbincangan dan perkongsian ilmu untuk membangunkan idea dan amalan baharu yang boleh disesuaikan untuk kanak-kanak.

Namun, bagi merintis masa depan, memperkasakan kualiti asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, bukan sahaja UPSI malah semua agensi yang berkaitan dengan ECCE harus bekerjsama dalam memastikan objektif yang disasarkan tercapai”.

Turut hadir Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa juga berkata bahawa persidangan antarabangsa ini telah membuka peluang antara UPSI dengan institusi pendidikan antarabangsa seperti Nanyang Technological University (NTU), Singapura dan Airlangga University untuk bekerjasama pada masa akan datang terutamanya dalam aktiviti penyelidikan, latihan, penerbitan dan lain-lain berkaitan asuhan, didikan dan perkembangan kanak-kanak.

Program ini turut diserikan lagi dengan persembahan dan demontrasi boneka daripada Prof. Madya Dr. Loy Chee Luen (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Andrea Anna-Maria Schlemmer (Annafabuli Shadow Theatre Germany), Nimit Pipitkul dan Piewnam Chalermyart (Semathai Marionette Foundation Arts for Sosial, Thailand).

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)